BERLIN, 2 FEB – Kereta Mercedes W196 Streamliner 1954 yang dipandu oleh legenda Formula Satu, Juan Manuel Fangio dan Stirling Moss, telah dijual pada harga rekod 51.155 juta euro di lelongan di Stuttgart.
Juara dunia lima kali, Fangio, memandu kereta tersebut dalam kemenangan Grand Prix Argentina 1955, manakala Moss memandu dalam Grand Prix Itali musim yang sama dan mencatatkan masa pusingan terpantas.
Penjualan itu menjadikan W196 sebagai kereta Formula Satu paling mahal yang pernah dijual, dua kali ganda daripada rekod sebelumnya. Pendahulunya, Mercedes W196R, memegang rekod sebelumnya dengan harga 23.35 juta euro pada tahun 2013.
Lelongan yang berlangsung di Muzium Mercedes-Benz di Stuttgart itu mempunyai harga simpanan 20 juta euro dan harga sasaran 50 juta euro. Pembeli membuat bidaan kemenangan melalui telefon dan memilih untuk kekal tanpa nama.
Walaupun harga jualannya jauh di bawah rekod harga tertinggi untuk sebuah kereta, harga bagi model vintaj telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2022, sebuah coupe Mercedes-Benz SLR 1955 yang jarang ditemui dari koleksi pengeluar itu mencapai 135 juta euro di lelongan, lebih dua kali ganda daripada rekod sebelumnya untuk Ferrari 250 GTO pada tahun 2018.
Rumah lelong Sotheby’s berkata W196 Streamliner adalah salah satu daripada empat contoh lengkap model tersebut yang diketahui dan yang pertama dijual kepada pembeli persendirian.
Mercedes-Benz menyumbangkan kereta itu ke Muzium Indianapolis Motor Speedway (IMS) pada tahun 1965. Ia adalah salah satu daripada 11 kereta yang akan dijual oleh IMS semasa mengurangkan koleksinya.
Rumah lelong tersebut menyifatkan W196 sebagai “antara kereta perlumbaan yang paling jarang dan paling cantik yang pernah dicipta” dan “salah satu pencapaian terbesar Mercedes-Benz.” – AFP