Sunday, July 13, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta F1 Schumacher dijual hampir €16 juta

    BERLIN, 27 MEI – Sebuah jentera Ferrari yang dipandu Michael Schumacher dalam usahanya meraih kejuaraan Formula Satu (F1) 2001 telah dilelong pada harga hampir €16 juta (AS$18.19 juta) di luar perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Menurut agensi lelongan RM Sotheby’s, kereta itu berjaya mencatatkan bidaan tertinggi iaitu €15.98 juta termasuk yuran.

    Akhbar The New York Times melaporkan harga permulaan kereta itu ialah €8 juta.

    Akhbar itu juga melaporkan bahawa kereta berkenaan dibeli oleh seorang daripada tetamu di kawasan VIP di litar perlumbaan, yang menyaksikan Lando Norris muncul juara.

    Dengan jentera itu, Schumacher yang juga juara dunia tujuh kali, memenangi perlumbaan di GP Monaco pada 2001.

    Menurut laporan The New York Times, ia merupakan harga tertinggi yang pernah dibayar bagi sebuah jentera F1 Ferrari.

    Rekod harga tertinggi pernah dicapai bagi sebuah kereta F1 dipegang oleh Mercedes W196 yang pernah dipandu Juan Manuel Fangio dan Stirling Moss pada era 1950an.

    Kenderaan itu dilelong tahun ini pada harga melebihi AS$52 juta.

    Schumacher bersara selepas musim 2006 sebelum kembali bersama Mercedes pada 2010 dan menamatkan kerjayanya secara rasmi pada 2012. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan pengunjung melihat kereta F1 Michael Schumacher yang memenangi GP Monaco di Rockefeller Plaza di New York pada 7 Oktober 2017. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda