Beberapa hari lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, pelakon Faye Kusairi berdepan ujian apabila kereta jenis Proton Exora miliknya dihempap bumbung balkoni kondominium kediamannya.
Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 38, berkata bukan hanya keretanya tetapi beberapa buah kenderaan milik jirannya turut menerima nasib sama.
“Sekitar pukul 4 petang (Rabu), salah satu bumbung balkoni dari tingkat tiga bangunan kondo kami ini roboh (besar kemungkinan kayu bumbung itu reput atau sudah lama).
“Jadi semua jenis konkrit berat dan kayu jatuh pada kereta saya dan juga jiran yang lain,” katanya.
Faye berkongsi perkara itu menerusi Instagram miliknya yang turut memaparkan kereta miliknya mengalami kerosakan.
Meskipun reda dengan kejadian yang berlaku, Faye tetap sedih melihat keadaan kenderaan yang banyak berjasa dalam rutin hariannya mengalami kerosakan teruk.

Katanya, ketika ini juga dia mengalami masalah kewangan memandangkan perniagaannya tidak berjalan dengan baik selain bakal menyambut hari raya tidak lama lagi.
“Saya ini sedihlah, lagi dah dekat raya, perlu pakai duit yang banyak. Kita ini nak berlakon lambat lagi nak masuk set baru.
“Berniaga pun sendu-sendu pada musim Ramadan ini. Yelah Nasi Ayam ini bukan sejenis makanan pada waktu malam, lebih sesuai makan tengah hari.
“Mana lagi kereta ini juga aku pakai untuk cari rezeki, hantar anak ke sekolah bagai. Nak balik kampung nak berjalan itu semualah. Sedih tapi aku reda,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Faye juga berharap orang ramai tidak membuat spekulasi sendiri yang mendakwa dirinya membuat pinjaman tak berlesen sehingga menimbulkan perbuatan khianat.
“Usahlah yang mana kata hutang along ke orang khianat ke apa-apa yang negatif. Sudah-sudahlah.
“Aku ini manusia jenis lambat lagi kacau orang ke, buat onar ke buat jahat. Aku ini betul-betul buat hal aku sendiri je. Itulah orang kata aku ini membosankan,” luahnya.
Sementara itu, usaha mStar untuk mendapatkan komen lanjut tidak berjaya apabila panggilan dibuat tidak dijawab. – Agensi
