Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta kabel pusat peranginan Perancis langgar stesen ketibaan, lapan cedera

    PARIS, 19 NOV – Lapan pekerja cedera, dua daripadanya parah, dalam kemalangan kereta kabel di pusat peranginan ski Val Thorens, Perancis, kata pihak berkuasa, hari ini.

    Bagaimanapun, tiada kecederaan yang dilaporkan mengancam nyawa.

    Kemalangan berlaku sekitar jam 7:30 pagi waktu tempatan ketika cuaca buruk melanda kawasan pergunungan Alps pada paras 3,000 meter, menurut kenyataan dari prefektur Savoie, atau pentadbiran wilayah.

    Insiden berlaku ketika kabin kereta kabel Cime Caron, yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan, melanggar stesen ketibaan dengan 16 pekerja berada di dalamnya.

    Pasukan penyelamat, termasuk anggota bomba, paramedik, peronda ski dan pasukan penyelamat pergunungan tinggi, memindahkan pekerja yang cedera menggunakan gondola berhampiran, kata pegawai.

    Prefektur Savoie turut menubuhkan pusat pengurusan krisis dan melancarkan pelan tindakan ‘nahas’ bagi menyelaraskan usaha menyelamat.

    Prefek wilayah Savoie, François Ravier berkata mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital di Annecy dan Grenoble.

    Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai punca kemalangan tersebut.

    “Masih terlalu awal untuk mengetahui keadaan sebenar yang menyebabkan kemalangan ini. Kita perlu menunggu hasil siasatan awal,” kata Ravier. – AP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda