NEW DELHI, 30 JUN – Lima askar India terbunuh apabila kereta kebal tentera yang mereka naiki tenggelam ketika menyeberangi sungai di kawasan terpencil, Ladakh yang bersempadan dengan China, kata pegawai kelmarin.
Kereta kebal itu tenggelam pada awal Sabtu akibat peningkatan mendadak paras air Sungai Shyok semasa aktiviti latihan ketenteraan, menurut kenyataan pusat arahan tentera India.
Ia berkata kemalangan itu berlaku di Saser Brangsa berhampiran kawasan yang membahagikan India dan China di wilayah Ladakh.
Menteri Pertahanan Rajnath Singh menyebutnya sebagai ‘insiden yang malang’.
“Kami tidak akan pernah melupakan jasa dan teladan askar kami yang gagah kepada negara. Ucapan takziah saya kepada keluarga yang berduka. Negara berdiri teguh bersama mereka semasa kesedihan ini,” tulis Singh di laman sosial X.
Tentera India dan China telah menempatkan puluhan ribu anggota tentera di kawasan itu setelah terlibat dalam pertempuran yang berlarutan.
New Delhi dan Beijing telah pun mengadakan beberapa siri rundingan diplomatik dan ketenteraan untuk menyelesaikan konflik ketenteraan dalam beberapa dekad. – AP
