Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta kuda kuno ditemui berhampiran Pompeii

    MILAN, 28 FEB – Pegawai di tapak arkeologi Pompeii di Itali mengumumkan semalam penemuan kereta kuda kuno yang masih utuh, salah satu daripada beberapa penemuan penting di kawasan yang sama di luar tapak berkenaan berhampiran Naples berikutan siasatan penggalian haram.

    Kereta kuda itu, diperbuat daripada besi, hiasan gangsa dan sisa-sisa kayu mineral, ditemui di reruntuhan penempatan di utara Pompeii, di luar tembok kota kuno, yang diletakkan di portico sebuah kandang di mana tinggalan tiga ekor kuda sebelumnya ditemui.

    Taman Arkeologi Pompeii menyebut kereta kuda itu ‘penemuan yang luar biasa’ dan mengatakan ‘ia mewakili penemuan unik yang tidak ada di Itali setakat ini dalam keadaan pemuliharaan yang sangat baik.

    Letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 Masihi memusnahkan Pompeii. Kereta kuda itu terselamat ketika dinding dan atap strukturnya runtuh dan terhindar daripada pencuri barang antik moden, yang telah menggali terowong ke lokasi berhampiran.

    Kereta kuda itu dijumpai sebagai salah satu barangan kuno yang paling penting di daerah sekitar Vesuvius, dengan pemandangan Laut Mediterranean yang indah di pinggir bandar Rom kuno.

    Ahli arkeologi tahun lalu mendapati di kawasan yang sama di pinggiran Pompeii, sisa-sisa rangka yang dipercayai seorang lelaki kaya dan budak lelakinya, cuba melarikan diri dari insiden itu.

    Ahli arkeologi percaya kereta kuda itu digunakan untuk perayaan dan perarakan, mungkin juga untuk membawa pengantin perempuan ke rumah baharu mereka.

    Walaupun kereta kuda itu digunakan untuk kehidupan seharian atau pengangkutan produk pertanian pernah ditemui di Pompeii, para pegawai mengatakan bahawa penemuan baharu itu adalah kereta pertama yang digali secara keseluruhan. – AP

    Kereta kuda yang diperbuat daripada besi dan hiasan gangsa serta sisa-sisa kayu mineral yang ditemui di Civita Giuliana, utara Pompeii. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda