PUTRAJAYA, 9 JULAI – Pengeluaran kereta nasional bukan sahaja bertujuan untuk mengembangkan industri pembuatan di negara ini, malah menjadi platform melatih ramai tenaga mahir dalam bidang automotif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, industri automotif adalah antara industri yang boleh ada banyak tenaga mahir kerana sebuah kereta mempunyai 4,000 komponen yang kaedah pengeluaran dan pemasangannya perlu dipelajari.
“Sekarang kita tahu buat kereta dan bila kita tahu mereka bentuk dan keluarkan kereta, kita juga belajar tentang kejuruteraan. Banyak langkah kita sudah belajar kerana satu industri sahaja,” katanya pada sesi dialog Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Internet of Things Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari mengenai TVET sebagai satu kaedah efektif dalam menyelesaikan masalah jurang antara kemahiran pekerja dan kehendak industri automotif.
Dr Mahathir berkata, pemain industri automotif perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka supaya seiring dengan kecanggihan teknologi pengeluaran kenderaan masa kini. – Bernama
