Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta pura-pura dicuri untuk elak temankan isteri beli-belah

    KRASNOYARSK, 12 NOV – Seorang lelaki di Rusia sanggup mereka-reka kejadian kecurian keretanya sendiri semata-mata untuk mengelak daripada keluar membeli-belah bersama isterinya.

    Ramai yang mungkin tidak menyedari betapa sesetengah lelaki benar-benar tidak gemar dibawa berkeliling di pusat membeli-belah oleh isteri atau teman wanita mereka. Ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelaknya, seperti yang dibuktikan oleh kisah lucu dari Rusia ini.

    Memetik laporan Oddity Central, bulan lalu, polis di Krasnoyarsk melaporkan kes aneh melibatkan seorang lelaki tempatan yang didakwa merosakkan keretanya sendiri untuk memalsukan kejadian curi kenderaan, hanya kerana tidak mahu menemani isterinya membeli-belah.

    Insiden itu sebenarnya berlaku pada bulan April, namun pihak polis wilayah hanya mendedahkannya kepada media pada bulan Oktober.

    Seorang wanita telah menghubungi talian kecemasan untuk melaporkan bahawa kereta Toyota Corolla milik suaminya telah dicuri dari tempat letak kereta berhampiran rumah mereka.

    Tidak lama kemudian, wanita itu menghubungi semula pihak berkuasa dan memaklumkan bahawa mereka menemui kereta tersebut di Pulau Otdykha, Krasnoyarsk.

    Apabila polis tiba untuk memeriksa kenderaan yang kononnya dicuri itu, mereka mendapati terdapat kesan pecah masuk serta suis pencucuh yang rosak. Namun selepas menyoal siasat suaminya, pegawai mula mengesyaki bahawa lelaki tersebut tidak bercakap benar.

    Semakin lama disoal, semakin tidak masuk akal ceritanya. Setelah meneliti semua bukti, polis akhirnya menyimpulkan bahawa lelaki itu telah mereka kejadian curi tersebut sebagai alasan untuk mengelak daripada keluar membeli-belah bersama isterinya.

    Walaupun tidak mempunyai rekod jenayah, lelaki itu kini berdepan risiko dipenjarakan akibat perbuatannya.

    Satu kes jenayah telah dibuka terhadapnya di bawah Artikel 306 Kanun Jenayah Rusia (Laporan Palsu dengan Sengaja) dan dia berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun serta sekatan perjalanan. – Agensi

    Gambar Fail Unsplash.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda