Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta rempuh pejalan kaki di Taiwan ragut tiga nyawa

    TAIWAN, 20 MEI – Sebuah kereta telah merempuh sekumpulan pejalan kaki di sebuah persimpangan jalan di Taiwan, mengorbankan tiga orang termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, menurut laporan media. Pemandu kereta berusia 78 tahun itu kini berada dalam keadaan koma selepas kemalangan yang berlaku pada petang Isnin.

    Polis memaklumkan bahawa pemandu berkenaan telah memandu merentasi persimpangan ketika semua lampu isyarat berwarna merah, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA). Kenderaan itu telah menyeret tiga buah skuter dan sebuah basikal sebelum melanggar penghadang konkrit di tengah jalan.

    Kejadian berlaku di New Taipei, kawasan yang luas di utara Taiwan yang mengelilingi ibu kota, Taipei. Rakaman video yang dimuat naik CNA menunjukkan serpihan bertaburan di persimpangan tersebut, sementara beberapa orang dilihat memberikan bantuan CPR kepada dua mangsa, termasuk seorang di belakang skuter merah yang terbalik.

    Seorang wanita berusia 40 tahun turut maut bersama dua pelajar sekolah menengah rendah yang berdekatan. Dua belas orang lagi mengalami kecederaan. Menurut kenyataan kerajaan New Taipei dan jabatan bomba, mereka yang cedera termasuk tujuh pelajar dari sekolah yang sama serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang cedera ringan.

    Lima mangsa dilaporkan cedera parah termasuk pemandu kereta tersebut. Ujian mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol, menurut CNA yang memetik sumber polis. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. – AP

    Para penyiasat berada di lokasi kejadian di Bandar New Taipei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda