Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta terbakar di kawasan garaj

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Satu lagi insiden kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku di Kampung Jerudong, pada 28 September lalu di mana sebuah kereta terbakar keseluruhan di kawasan garaj kereta.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, panggilan kecemasan mengenai insiden itu telah diterima pada pukul 9:43 malam.

    Dua buah jentera bomba bersama lapan orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh DSO Zulkefle bin Haji Ali dari Balai Bomba Jerudong dikerahkan ke tempat kejadian.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai set alat pernafasan dan seterusnya mengeluarkan dua batang hos 38 mm bagi memadam kebakaran berkenaan dan api dapat dikawal dalam masa dua minit.

    Dalam kejadian berkenaan, tidak ada korban jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta dan menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api jenis Dry Chemical Powder di dalam kereta.

    JBP juga menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas, dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran kereta dalam kejadian yang berlaku di Kampung Jerudong pada 28 September lalu. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda