Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN,19 OKT – Sebuah kereta jenis hatchback rentung dalam insiden kebakaran yang berlaku di kawasan Jalan Lebuh Raya Jerudong, Tutong, pada 17 Oktober lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, dua buah jentera dan lapan orang anggota yang diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman dari Balai Jerudong I dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 2:43 petang.
Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati api besar membakar keseluruhan kereta berkenaan. Mereka bertindak memakai alat bantu pernafasan dan seterusnya memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos 38mm dengan air diperoleh dari tangki jentera bomba.
Pemandu kereta berkenaan adalah seorang lelaki dan telah pun keluar dengan selamat sebelum jentera bomba dan penyelamat sampai. Punca dan kerugian masih dalam penyiasatan.
JBP dalam kenyataannya terus menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta dan menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api jenis Dry Chemical Powder di dalam kereta.
Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.