Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta terbakar, mangsa selamat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, panggilan kecemasan insiden kebakaran kereta telah diterima pada pukul 4:13 petang di KM 22 Lebuhraya Lumut Seria By Pass, kelmarin.

    Sehubungan dengan itu, sembilan orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Seria yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Musa bin Aman dikerahkan ke insiden kebakaran kereta.

    Anggota bomba dan penyelamat apabila sampai di tempat kejadian mendapati api besar membakar keseluruhan kereta jenis hatch back yang berada di tepi jalan. Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadam kebakaran itu dengan mengeluarkan dua jet hos dengan sumber air diperoleh dari jentera bomba di mana api dapat dikawal dalam masa 26 minit.

    Pemilik kereta berkenaan ialah seorang penduduk tetap dan kereta itu dipandu oleh anak beliau bersama seorang penumpang merupakan warganegara tempatan. Kedua-dua mangsa telah keluar dengan selamat serta tidak mendapat sebarang kecederaan sebelum jentera bomba sampai.

    JBP menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan wayar terbakar.

    Jabatan itu juga menyatakan para pengguna jalan raya supaya sentiasa lebih berhati-hati serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan tanda keselamatan dan lampu isyarat, memberikan tumpuan dan berwaspada ketika memandu, menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu, peka dan awas terhadap perubahan alam sekeliling seperti hujan, jalan licin dan penglihatan terhad terutama sekali di waktu malam serta sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya lain bagi menggelakkan sebarang kemalangan.

    Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Anggota bomba dan penyelamat ketika bertindak memadamkan kebakaran kereta dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Lumut Seria By Pass, kelmarin. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda