Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta terbakar, pemandu selamat

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 28 Sept – Seorang pemandu warganegara asing dilaporkan terselamat daripada mengalami sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian yang berlaku di kawasan Lebuh Raya Seria Mumong Bypass, di sini, malam tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) hari ini, panggilan tentang kejadian itu telah diterima kira-kira 7:46 malam dan dua buah jentera bomba bersama sembilan orang anggota daripada Balai Bomba Seria telah dikerahkan ke tempat kejadian dengan diketuai oleh Pegawai Stesen, Haji Abdul Latif bin Badar.

    Kenyataan menjelaskan, setiba di tempat kejadian, api besar didapati telah membakar keseluruhan kereta berkenaan, bagaimanapun dapat dikawal dalam masa kira-kira tiga minit.

    Kejadian dipercayai berpunca daripada kerosakan bahagian kotak fius utama dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan.

    Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan para pengguna jalan raya untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat untuk dipandu secara keseluruhan, selain memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran pada kejadian di kawasan Lebuhraya Seria Mumong Bypass, malam kelmarin.

    Di samping itu, orang ramai juga disarankan supaya sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah, kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar.

    Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa lebih berhati-hati serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan-papan tanda keselamatan dan lampu isyarat, memberikan tumpuan dan berwaspada ketika memandu, menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu, peka terhadap perubahan keadaan sekeliling seperti hujan, jalan licin dan penglihatan terhad terutama sekali di waktu malam. Serta sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

    Jabatan tersebut juga menyeru orang ramai supaya terus menghubungi pusat gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat jika berlaku sebarang insiden kecemasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda