Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Dari Januari hingga April 2020, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima sebanyak 31 panggilan kecemasan melibatkan insiden kebakaran kereta dengan anggaran kerugian sebanyak $101,350 dan menyebabkan dua orang tercedera.
Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan kepada orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran kereta daripada berlaku.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini, panggilan kecemasan kebakaran kereta telah diterima pada pukul 12:28 tengah malam tadi, di kawasan Hua Ho Petani Mall, Tutong.
Sebanyak dua buah jentera dari Balai Bomba Tutong bersama 10 orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai Awang Rinald dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati api besar membakar sebahagian sebuah kereta jenis hatchback berwarna putih.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak untuk memadamkan kebakaran dengan satu hos reel dan satu batang hos menggunakan air dari jentera bomba. Pemilik kereta berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berjaya keluar dari kereta berkenaan dengan selamat sebelum jentera bomba sampai dan punca serta kerugian daripada kejadian berkenaan masih dalam siasatan.
Kenyataan menyatakan bahawa kategori utama punca insiden kebakaran kereta ialah masalah mekanikal yang melibatkan kerosakan komponen mekanikal, kebocoran hos minyak atau saluran di komponen kenderaan dan penyambungan yang longgar.
Kesalahan dan kecuaian manusia yang melibatkan kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta, membiarkan enjin kenderaan dalam keadaan hidup dengan lama dan pembakaran terbuka yang ditinggalkan lalu melarat ke kawasan letak kereta serta masalah elektrik yang melibatkan kerosakan komponen sistem elektrik di dalam enjin, kerosakan bahagian sistem pendawaian, kerosakan bahagian ABS (Anti-Lock Braking System) dan kerosakan kotak fius di dalam enjin.
JBP menyarankan kepada orang ramai untuk membuat penyelenggaraan yang berjadual bagi kenderaan mereka, memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian yang dibuat itu adalah dengan cara yang betul, yang tidak mendatangkan bahaya kebakaran, dinasihatkan mempunyai alat pemadam api di dalam kereta dan bagi ken-deraan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.
Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-6-A_02062020.jpg)