Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta terbalik, mangsa terselamat

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Berikutan hujan lebat yang melanda Negara Brunei Darussalam baru-baru ini, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku antaranya pokok tumbang, kerosakan atap rumah dan juga kemalangan jalan raya.

    Rentetan itu, sebuah kenderaan telah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada kejadian yang berlaku di lebuh raya kawasan Jerudong ke Muara, antara pusingan-U menuju Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas.

    Media Permata ketika dihubungi oleh ayah mangsa kemalangan itu, Awang Hamid Nudin menceritakan kejadian yang melibatkan anak beliau.

    Beliau mengongsikan kereta yang dipandu telah hilang kawalan akibat terlanggar aliran air di jalan serta melanggar penghadang jalan sebelum terbalik dan kembali ke jalan yang sama dengan kerosakan teruk.

    Beliau merasa bersyukur kepada Allah SWT kerana anaknya terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius dan menekankan kepentingan memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu.

    Tambahnya, selepas kemalangan berlaku, anak beliau terus berusaha untuk keluar dari kenderaan yang terbalik melalui tingkap.

    Semasa kejadian yang menakutkan itu, mangsa menerima bantuan daripada tiga orang individu yang memberhentikan kenderaan dan menolongnya keluar dari kereta.

    Mereka adalah dua lelaki tempatan dan seorang ekspatriat JIS yang juga membuat pemeriksaan awal kesihatannya dan menjaga keselamatannya serta barang-barangnya sambil memastikan keselamatan lokasi kemalangan dan lalu lintas dalam keadaan aman.

    “Pihak keluarga kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan kepada mereka yang berhati mulia atas bantuan sewajarnya.

    Wajah-wajah mereka tersemat dalam ingatan kami, bersyukur kepada Allah SWT yang membawa jiwa-jiwa wira itu ke lokasi kejadian dan berharap dapat berterima kasih kepada mereka secara peribadi suatu hari nanti.

    “Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ambulans dan paramedik yang hadir di lokasi. Mereka sangat profesional dan memberi sokongan sepanjang kejadian walaupun dalam cuaca buruk yang menyukarkan mereka dengan beberapa kecemasan dalam tempoh tersebut,” tambahnya.

    Keadaan kereta yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda