KUCHING, 21 JULAI – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tasik berdekatan bulatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kuching, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Launtin berkata mangsa dikenali sebagai Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50, manakala anaknya Nur Badrina Saharidan, 17, yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motokar yang dipandu oleh mangsa sedang dalam perjalanan dari Desa Ilmu menuju ke Sekolah Menengah
Kebangsaan Muara Tuang menggunakan jalan dalam kawasan UNIMAS.
“Sebaik tiba di kawasan tasik berdekatan bulatan UNIMAS, kenderaan terbabit dipercayai telah berhenti seketika di tepi jalan di atas kawasan rumput sebelum tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam tasik,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Damataries berkata Nur Shareefah Lusia disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Prima UNIMAS pada 11:51 pagi semasa menerima rawatan dan jenazah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat manakala anaknya, yang juga Orang Kurang Upaya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama
