BERLIN, 21 JULAI — Polis di barat laut Jerman kelmarin memaklumkan beberapa individu cedera apabila sebuah kereta terbabas dari jalan, melanggar seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang sedang bermain di atas trampolin, sebelum ‘terbang’ dan tersangkut di bumbung sebuah bangsal.
Polis menyatakan kereta berkenaan terlebih dahulu berlanggar dengan sebuah kenderaan yang diparkir di pekan Bohmte, sebelum melanggar pagar dan terus meluncur ke halaman rumah dan merempuh kanak-kanak berkenaan.
Kereta tersebut kemudian melalui permukaan tanah yang tidak rata dan dipercayai terpelanting ke udara, sebelum akhirnya menerobos ke bumbung bangsal jiran setinggi kira-kira tiga meter dari permukaan tanah.
Menurut kenyataan polis, kanak-kanak lelaki tersebut mengalami kecederaan serius.
Pemandu kereta terbabit ialah seorang lelaki berusia 42 tahun, yang identitinya belum dikenal pasti. Isterinya turut cedera parah.
Turut berada di dalam kenderaan ialah dua anak lelaki mereka berusia 11 dan 12 tahun, serta seorang penumpang berusia 13 tahun. Kesemua mereka, termasuk pemandu, hanya mengalami kecederaan ringan.
Puluhan anggota bomba, lebih 12 ambulan serta dua helikopter penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa dan menjalankan operasi menyelamat.
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan anggota penyelamat memotong bumbung untuk mengakses kenderaan, serta kesan kerosakan pada taman permainan yang dirempuh kereta itu.
Kenderaan terbabit dikeluarkan dari bumbung menggunakan kren dan dibawa oleh pihak polis. Siasatan terhadap insiden itu sedang dijalankan. – AP
