MENGAPA ‘kerjasama’ penting untuk berjaya? Kejayaan mana-mana organisasi bergantung kepada bagaimana ahli-ahlinya berkomunikasi dan mengendalikan tugas bersama-sama. Jelas sekali, kerja berpasukan adalah satu bahagian paling penting dalam setiap organisasi ke-rana mereka dapat berkongsi maklumat, memberikan motivasi, serta membantu membuat keputusan yang lebih baik.
Kajian menunjukkan bahawa masalah yang rumit paling berkesan diselesaikan oleh pasukan tiga, empat atau lima orang, berbanding dengan orang yang menangani masalah yang sama bersendirian. Bahkan, individu yang berprestasi tinggi juga tidak mampu menandingi mereka yang bekerja dalam kumpulan.
Sesebuah organisasi semestinya mempunyai pekerja-pekerja yang pelbagai jenis bakat masing-masing. Keupayaan kreativiti individu sering membawa kepada hasil terbaik jika disatukan bersama-sama.
Apabila setiap kemahiran itu digabung dalam sesi brainstorming, pasukan itu dapat menjana daya kreativiti bersama dan meningkatkan lagi peluang mendapatkan penyelesaian atau hasil terbaik.
Daya kreativiti ini yang akan membawa kepada idea-idea baharu untuk kekal berdaya saing dan relevan. Tanpa inovasi, organisasi akan semakin ketinggalan ber-banding pesaing lain.
Syarikat IT besar seperti Apple, Microsoft, dan Facebook dapat kekal di atas dengan mengimbangkan pekerja berbakat dan pekerja berpasukan lalu membentuk ‘Creative Team’ (Pasukan Kreatif) mereka tersendiri.
Seperti dalam organisasi insurans, ejen mereka sering menghadapi pelanggan atau produk yang bermasalah. Daripada pening kepala fikir sendiri, ejen-ejen mereka sering mengadakan mesyuarat untuk berkongsi dan berfikir bersama-sama untuk menyelesaikannya. Maka, strategi jualan mereka menjadi semakin mantap.
Natijahnya, dengan adanya kerjasama di tempat kerja, semua pekerja di negara ini baik penjawat awam mahupun swasta mampu berfikir di luar kotak. Dan hasilnya kelak pasti akan memberi impak yang sangat positif kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
Bekerjasama untuk sokongan padu
Dalam dunia pekerjaan, kita akan menerima tugas baharu hampir setiap hari. Bagi mereka yang mahir, kacang je. Tapi, bagi pekerja baharu atau yang kurang cekap selalunya akan gagal memenuhi tarikh akhir dan kualiti kerja yang diinginkan apabila bekerja sendirian. Sebaliknya, bekerja secara berkumpulan membolehkan mereka saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Malah, menjadikan mereka lebih produktif.
Selain mendapat sokongan fizikal, bekerja berkumpulan juga akan memberikan sokongan moral kepada pekerja. Apabila menghadapi masalah seorang diri, pekerja biasanya akan tumbang sebelum selesai kerja kerana tiada sokongan moral. Terutama dalam bidang jualan seperti insurans, mereka sentiasa mendapat penolakan oleh pelanggan. Jadi, mereka amat memerlukan sokongan moral supaya sentiasa berfikiran positif.
Semasa bekerja dalam pasukan, pekerja umumnya menerima lebih banyak pujian berbanding bekerja sendirian, jadi me-reka merasa seperti mereka menyumbang sesuatu yang istimewa dan diakui ramai lalu menaikkan semangat mereka. Jadi, ringankanlah mulut anda untuk mengucapkan ‘syabas’ atau ‘bagus’ kepada orang bawahan dan rakan sekerja.
Tambahan lagi, dengan bekerja dalam satu pasukan, pekerja akan membangunkan rasa kekitaan dan komitmen terhadap satu sama lain dalam mencapai matlamat bersama. Lalu, prestasi kerja mereka akan turut sama meningkat serta menjadikan organisasi tersebut berjaya.
Kesimpulannya, sama ada kita berada di rumah, sekolah atau bekerja, kita akan selalu menghadapi kesukaran dalam melakukan sesuatu. Tetapi, jangan berputus asa, anda boleh meminta bantuan orang lain.
Seperti kereta yang bergerak dengan empat tayar, anda juga perlukan sokongan daripada orang lain untuk maju. Jadi, cuba untuk bekerja dengan pasukan daripada menghadapi kesukaran bekerja bersendirian.
Bagaimana mencipta pasukan hebat?
Menurut majalah Inc.com, sebuah majalah bisnes Amerika, latihan pembangunan pasukan adalah cara terbaik untuk membantu pekerja-pekerja untuk bekerja sebagai satu unit yang bersatu padu dan memberikan tumpuan kepada satu matlamat yang sama. Latihan ini harus memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan, meraikan kejayaan dan juga mengamalkan kemahiran pasukan.
Syarikat perlu memperkenalkan sistem pengiktirafan pekerja. Tetapi perlu diingat, pengiktirafan ini harus diberikan kepada kumpulan, bukan individu agar tidak timbul isu ‘bos pilih kasih’. Sebagai ketua, anda perlu raikan kejayaan pekerja anda secara beramai-ramai, bukannya dengan pihak atasan sahaja.
Boleh dilihat, syarikat-syarikat insurans sering memberi ganjaran seperti komisen tinggi, anugerah, pakej percutian dan sebagainya kepada ejen mereka yang mencapai jualan yang tinggi. Kesannya, ia akan meningkatkan semangat dan prestasi kerja mereka.
Jika ingin mengadakan latihan pembangunan pasukan, perlu diingat untuk memberikan penekanan khusus kepada kepercayaan, kesetiaan, kemahiran dan yang paling penting, keseronokan. Walaupun ia mengambil sedikit masa tetapi ia benar-benar berbaloi.
Kesudahannya, anda akan mempunyai satu unit yang padu dan mesra serta bersedia untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah di syarikat anda ke tahap keberkesanan yang sepenuhnya.
Oleh itu, wujudkan kerjasama di dalam pasukan anda untuk membawa kepada kejayaan!
5 Tips membina pasukan terbaik
Kerja berpasukan atau team building merupakan salah satu syarat penting untuk membina kesatuan demi mencapai matlamat sebuah syarikat untuk berjaya. Matlamat, visi, misi dan objektif syarikat tidak akan tercapai jika kerja berpasukan ini tidak diamalkan. Di sini dikongsikan lima tips membina pasukan kerja yang terbaik.
1-Komunikasi yang baik antara pasukan menjadikan gerak kerja lebih efektif. Jangan jadikan halangan dan masalah berkomunikasi itu punca hubungan ahli pasukan menjadi lemah.
2- Letakkan kepercayaan terhadap ahli pasukan. Apabila ahli pasukan rasa dipercayai, maka hasil kerja mereka akan jadi lebih baik.
3-Memberi respon yang positif. Respon yang baik menjadikan ahli pasukan lebih bersemangat positif untuk menyempurnakan tugasan mereka.
4-Kurangkan bebanan kerja yang ditanggung ahli pasukan. Pastikan setiap ahli mendapat bebanan kerja yang minimum untuk menghasilkan kerja yang optimum.
5-Pilih waktu yang sesuai. Masa kerja itu seharusnya tidak mengganggu masa peribadi mereka. Apabila anda mengaturkan satu jadual, hendaklah dipertimbangkan juga jadual ahli pasukan dan keperluan peribadinya.
Sifat bekerjasama antara ahli pasukan dalam sesebuah syarikat amatlah penting dalam mengekalkan prestasi syarikat. Oleh yang demikian, ketua mahupun ahli pasukan memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pasukan kerja yang terbaik. – Agensi