Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan para pelaut bahawa kerja-kerja pembinaan jeti Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd dilanjutkan lagi masanya hingga 20 Oktober.
Kenyataan menyatakan bahawa kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak 14 Jun itu dilaksanakan oleh pihak Syarikat AHJL Sdn Bhd (Syarikat Brunei Fertilizer Industries) dan ia akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran.
Kapal yang terlibat dalam kerja-kerja berkenaan ialah Crest 256 (Call Sign: NIL), TWM53-230 (Call Sign:NIL), AQM2101 (Call Sign:NIL), QSA 696 (Call Sign:9V6997), Seadon (Call Sign:T2VQ) dan QSA Purari (Call Sign:9V7550) di mana kedudukannya terletak di persisiran Pantai Sungai Liang, SPARK, Lumut, Daerah Belait, perairan Negara Brunei Darussalam.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa panjang keseluruhan fasiliti jeti berkenaan ialah kira-kira 3.3km, di mana kira-kira 2.5km dianggap sebagai pesisiran luar pantai dan 0.8km dianggap sebagai bahagian darat.
Untuk pemasangan modul persisiran luar pantai, Syarikat AHJL akan melaksanakan aktiviti seperti Tongkang Kren CC2400-1 – modul pengangkutan dan pemasangan ke jeti, Tongkang Kren CC2800-1 – modul pengangkutan dan pemasangan di kepala jeti dan modul pengangkutan oleh tongkang pengangkutan dari PB Yard ke Jeti Muara.
Tongkang dan kapal-kapal terhad kemampuannya untuk berolah-gerak.
Saluran amaran radio navigasi akan disalurkan melalui Saluran 15 dan Saluran 16. Boya penanda berwarna kuning akan dipasang di kawasan yang terjejas.
Sehubungan dengan itu, pelaut-pelaut adalah dikehendaki untuk menjauhi diri dari zon aktiviti dan perkakasnya serta mereka juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila berlayar di kawasan berkenaan.
MPABD menyatakan lagi bahawa pemilik kapal, nakhoda kapal dan orang yang bertanggungjawab ke atas kapal hendaklah mematuhi notis itu di mana kegagalan berbuat demikian, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak Syarikat AHJL akan sentiasa memantau perjalanan operasi tersebut.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pengurus Projek, Mohammad Syarif Showkat dan Ketua Persisiran Laut Pantai dan Penyelia Kapal Tongkang, Napodech Kachachai menerusi talian 7352411.