Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Rancangan pembangunan semula Kampong Ayer dengan harga rancangan berjumlah $32.8 juta masih dalam penelitian untuk mengkaji semula skop projek dengan memberikan tumpuan kepada penaiktarafan jambatan kayu utama kepada jambatan konkrit sepanjang 21.9 kilometer.
Selaras dengan penilaian dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Daerah Brunei dan Muara terus melaksanakan kerja-kerja pembaikan di mana jabatan berkenaan melalui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) terus melaksanakan kerja-kerja pembaikan kemudahan sedia ada secara berfasa termasuk jeti dan jambatan.
“Sejak 2022 hingga 2024, kerja-kerja pembaikan jambatan kayu telah dilaksanakan sepanjang 7.127 kilometer dengan kos sebanyak $815,988.”
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato menekankan KHEDN memang memberikan keutamaan untuk memastikan jambatan-jambatan berkenaan diperbaiki.
Penelitian telah dibuat dalam masa jangka panjang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan melalui JKR di mana jambatan-jambatan kayu berkenaan telah diteliti untuk diperbaiki dan ia akan dilaksanakan secara berfasa mengikut peruntukan yang diberikan.
