Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerja-kerja takungan Empangan Hidroelektrik Baleh dijangka bermula 2027

    KAPIT, 16 JUN – Kerja-kerja takungan bagi projek Empangan Hidroelektrik Baleh dijadualkan bermula pada 2027 dan dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata apabila siap kelak, projek milik Sarawak Energy itu mampu menjana hingga 1.2 Gigawatt (GW) tenaga elektrik menjelang 2029.

    “Walaupun projek ini disasarkan siap menjelang Disember 2029, Sarawak Energy sedang berusaha untuk menyiapkannya tiga bulan lebih awal daripada jadual,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke tapak projek berkenaan hari ini.

    Abang Johari turut mencadangkan supaya Sarawak Energy melaksanakan inisiatif mampan seiring dengan proses takungan bagi memastikan aktiviti sosioekonomi dapat dilaksanakan menjelang 2030.

    Bagi memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dilaksanakan tanpa menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti, beliau turut menggariskan tiga keutamaan strategik utama, iaitu pemuliharaan biodiversiti, pembangunan pertanian, dan perlindungan habitat hidupan liar.

    Antara inisiatif utama dicadangkan adalah penghijauan semula dalam skala besar untuk memulihkan biodiversiti hutan yang terkesan akibat pembangunan empangan berkenaan.

    Beliau berkata aktiviti pertanian perlu dirancang di kawasan sekitar bagi menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan di samping memelihara habitat hidupan liar.

    Sehubungan itu, Abang Johari mengarahkan Sarawak Energy untuk bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Hutan Sarawak, dan Jabatan Pertanian Sarawak.

    “Usaha itu perlu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan komuniti setempat dan sektor perniagaan,” katanya. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Openg berucap pada Majlis Makan Malam Gala Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) ke-60 baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda