Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerja melebar sungai bagi tangani masalah banjir

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Salah satu usaha yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan selain daripada penyediaan kolam bagi pengurusan air dan banjir adalah kepada kerja-kerja mengorek dan melebarkan sungai serta kolam di Daerah Tutong, melibatkan Sungai Telamba, Sungai Pepakan, Sungai Danau, Sungai Kelakas dan Kuala Sungai Tutong di mana tawaran telah dibuka pada 22 Januari lalu dan akan tutup 25 Mac ini.

    Objektif projek itu adalah untuk meningkatkan kapasiti sungai bagi melancar pengaliran air melalui kerja-kerja pengorekan dan pelebaran sungai yang sedia ada.

    Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub berkaitan inisiatif kerajaan dalam menangani isu banjir dan bencana alam di Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam serta Kampung Danau, semasa Persidangan MMN bagi hari ke-13 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, usaha yang lain menerusi Skim Pencegahan Banjir di Pekan Tutong, Kampung Keriam dan Kampung Bukit Bendera di mana tawaran telah dibuka pada 18 Disember 2024 dan ditutup pada 25 Mac ini. Projek ini bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan yang sering dilanda banjir seperti Kampung Keriam, Kampung Suran, Kampung Sinaut, Kampung Bendera.

    Manakala bagi langkah-langkah mitigasi menaik taraf sistem saliran pembinaan, sistem pam saliran, serta pembinaan benteng penahanan banjir. Kerja-kerja awal bagi saluran keluar kedua Sungai Tutong, akan dibuka untuk tawarannya pada bulan Mei nanti. ini masih lagi dalam perancangan untuk tender document pada masa sekarang dan akan dibuka pada bulan Mei 2025.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menjawab soalan yang diajukan pada persidangan tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    “Isu banjir di RPN Bukit Beruang, pihak kementerian mengambil maklum mengenai cadangan gunaan mesin Micro Hydro Power sebagai mitigasi banjir setempat. Dalam hal ini, kajian mendapati banjir di kawasan ini dikategorikan sebagai Banjir Setempat yang memerlukan pembaikan dan pembesaran sistem saliran sedia ada dengan kos yang dianggarkan sebanyak $858 ribu,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menyatakan mengenai dengan cadangan membina kolam takungan di kawasan RPN Bukit Beruang, perkara ini telah difikirkan dan dikaji, cuma tidak dapat dilaksanakan memandangkan cadangan ini tidak memberikan kesan positif terhadap kategori kebanjiran kawasan tersebut.

    Tambahnya, pihak kementerian juga telah membuat kajian bertajuk Feasability Study for Flood Occurences at RPN Bukit Beruang pada 12 Februari 2025 yang ditutup 4 Mac 2025.

    Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca utama kegiatan banjir di kawasan tersebut iaitu RPN Bukit Beruang dengan menentukan lokasi dan reka bentuk terbaik bagi sistem mitigasi banjir serta langkah-langkas mitigasi yang lebih holistik.

    Mengenai dengan peruntukan untuk menaik taraf dan membaiki infrastruktur di Mukim Ukong, Kementerian Pembangunan telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan secara sectional di jalan, iaitu berperingkat-berperingkat, pembaikan jalan secara section-by-section di Jalan Long Mayan Merangking, di Jalan Long Mayan Merimbun, Jalan Long Mayan Bukit di tiga lokasi disepanjang 450 meter pada tahun lepas, 2024.

    Pada masa ini, kerja-kerja pembaikan jalan raya dan penyelenggaraan sistem saliran dilaksanakan secara section-by-section menggunakan kontrak penggal.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan Kementerian Pembangunan akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan raya di Long Mayan Merangking ke tahap konkrit sepanjang 1.5 kilometer melalui peruntukan RKN-12 yang mana tawaran ini sedang dalam proses penilaian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda