Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Kerja-kerja pembaikan segera akan dilaksanakan sehingga selesai berhubung aduan gangguan bekalan air di kawasan perumahan Mengkubau.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai status terkini setakat pukul 8 pagi tadi, gangguan tersebut berpunca daripada kebocoran paip di kawasan berdekatan Jalan Utama Mentiri.
Sehubungan itu, tangki biru telah disediakan oleh jabatan di beberapa lokasi di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mengkubau, iaitu di Taman Riadah RPN Mengkubau, Jalan Tanjung Selasih; Taman Riadah RPN Mengkubau, dekat Simpang 186; Taman Permainan Kanak-kanak dekat Simpang 197 dan berdekatan Simpang 63, Jalan Tanjung Selasih.
Selain itu, tangki biru juga diletakkan di Simpang 19, Jalan Sungai Cerana; Simpang 107, Jalan Bukit Sinadur; Simpang 85, Jalan Bukit Bintagur dan juga Taman Permainan Kanak-kanak berdekatan simpang 60, Jalan Bukit Sinadur, depan Simpang 38, Jalan Bukit Pandayan; Taman Simpang 23-15, Jalan Tanjung Kudus; Taman Simpang 55-10, Jalan Tanjung Kudus dan Taman Simpang 49, Jalan Sungai Cerana.