BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Kerja-kerja pembinaan Projek Dewan Serba guna Koperasi Persatuan TIBA (KOTIBA) telah dirasmikan dengan Majlis Peletakan Batu Asas di tapak projek berkenaan.
Upacara peletakan batu asas telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Projek pembinaan dewan serba guna itu didirikan di atas tapak seluas tiga ekar, berserta dengan prasarana asas seperti gelanggang sukan, pejabat, surau, bilik mesyuarat, fasiliti orang kurang upaya dan infrastruktur lain. Ia dihasratkan dapat menyediakan kemudahan kepada masyarakat Kampung Salambigar, Kampung Sungai Orok, Kampung Sungai Hanching dan Kampung Tanah Jambu.
Projek yang bernilai kira-kira $800,000 itu dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan di mana pelaksanaan projek dikendalikan oleh kontraktor dilantik, Salsadil Sdn Bhd.
Pembinaan itu merupakan antara pelan pelaburan strategik KOTIBA dengan matlamat mewujudkan aliran pendapatan baharu untuk koperasi dan pembangunan sosioekonomi yang mampan untuk menjana pendapatan kepada pemegang-pemegang saham KOTIBA.
Dengan adanya dewan serbaguna itu, ia akan menjadi hab aktiviti-aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan ekonomi yang menitikberatkan belia-belia
berpaksikan nilai dan falsafah Melayu Islam Beraja.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengerusi, setiausaha, ahli-ahli Lembaga Koperasi, ahli-ahli jawatankuasa kecil KOTIBA, Pemangku Ketua Kampung Salambigar dan Sungai Hanching, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan, pihak kontraktor dan wakil dari Arkitek Gemilang Latiff, perunding yang mengendalikan projek berkenaan.




