Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Beberapa buah stesen minyak di tiga buah daerah dijadualkan untuk ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan iaitu pam minyak bagi November 2025.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.
Menurut Unit SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar dua jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu merupakan pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.
Sehubungan dengan itu, jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan pada November 2025 dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi bagi Daerah Tutong pada 18 November di Stesen Minyak KOPEKLAP dan 19 November di Stesen Minyak Persatuan Cahaya Pakatan Berhad, di Daerah Belait pada 24 November di Stesen Minyak Roxana dan 26 November di Stesen Minyak Perniagaan dan Perusahaan Melayu serta di Daerah Temburong pada 25 November di Stesen Minyak Negalang Maju Sdn Bhd.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT, IBE melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian, 2383142.


