PHNOM PENH, 3 FEB – Kemboja telah menyelesaikan pemulihan kuil purba berusia lebih 1,000 tahun di sebelah utara Kuil Phnom Krom di Taman Arkeologi Angkor yang disenaraikan oleh UNESCO, kata Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA (ANA) dalam satu kenyataan, hari ini.
Pegawai pemuliharaan Jabatan Pemuliharaan Monumen dan Arkeologi Pencegahan ANA, Ros Visoth, berkata kuil Hindu yang dibina pada penghujung abad kesembilan, berukuran kira-kira enam meter lebar dan lebih tujuh meter tinggi.
Kerja-kerja pemulihan bermula pada Jun 2024 dan siap pada akhir Disember 2024.
“Kuil yang musnah itu telah menjalani pemulihan sepenuhnya, mengembalikannya kepada kegemilangan dahulu berkat usaha teliti pakar dari Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA,” kata Visoth.
Beliau berkata sebelum pemulihan, kuil itu dalam keadaan rosak, dengan bumbung dan dindingnya mengalami kerosakan yang ketara.
“Pada musim hujan, air meresap melalui rekahan bata berikutan faktor usia, keadaan cuaca dan tumbuhan yang telah merosakkan bata itu,” katanya. – Xinhua