Monday, July 14, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama ASEAN-CHINA-GCC boleh bawa manfaat besar

    KUALA LUMPUR, 29 MEI – ASEAN boleh meraih manfaat ekonomi yang besar melalui usaha mengeratkan hubungan dengan China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    “Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China baru-baru ini juga meletakkan rantau kita sebagai jambatan antara Asia, Timur Tengah dan seterusnya.

    “Perkongsian tiga hala ini menawarkan peluang untuk menggabungkan kapasiti teknologi dan infrastruktur China, tenaga dan modal GCC dengan pasaran dan industri yang dinamik di ASEAN untuk menjadi enjin baharu bagi mencapai pertumbuhan dan daya tahan,” katanya menerusi ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN 2025, hari ini.

    Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

    Tengku Zafrul berkata Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang baru ditubuhkan, dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan Indonesia, kini beroperasi sepenuhnya.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa menghadiri Forum ASEAN-Gulf Cooperation Council di Kuala Lumpur, pada 29 Mei. – Bernama

    Menurutnya, mandat pasukan petugas itu adalah untuk menyediakan analisis ekonomi masa nyata, pemodelan senario dan cadangan dasar yang diselaraskan untuk membantu ASEAN mengunjur dan mengurangkan risiko ekonomi dan, jika sesuai, mengubahnya menjadi peluang.

    “Selain itu, menteri-menteri kita (ASEAN) juga mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

    “Kenyataan bersama kita menggariskan pendekatan matang dan berpandangan ke hadapan kerana ASEAN akan bertindak balas kepada kejutan luar bukan dengan tindakan balas, tetapi dengan rundingan, dialog terbuka dan penyelesaian kolektif,”
    katanya.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kuasa terbesar sebenar ASEAN adalah perpaduan, daya tahan dan pragmatisme rantau ini.

    “Ketika dunia mengalami perubahan yang besar, perpaduan dan pemusatan ASEAN menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

    “Daripada Krisis Kewangan Asia hinggalah kepada pandemik pada hari ini, ASEAN telah menunjukkan kepada dunia bahawa tindakan kolektif, kepercayaan dan tujuan bersama adalah asas kejayaan kita,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda