Kerjasama ASEAN, China penting bagi pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 NOV – Malaysia berpandangan bahawa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China harus bekerjasama dalam bidang ekonomi, transformasi, infrastruktur dan kesalinghubungan bagi memastikan rantaian bekalan kekal lancar tanpa halangan selain terus berkembang dari segi pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Ketika berkongsi pandangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China yang menyeluruh juga mampu menyumbang kepada usaha mempercepat pemulihan serta daya tahan serantau.

“Malaysia menggalakkan ASEAN dan China supaya bekerjasama dalam bidang kesihatan awam dan keupayaan farmaseutikal melalui perkongsian teknologi, kepakaran dan harta intelek,” katanya pada sidang media mengenai hasil Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China bagi memperingati ulang tahun ke-30 Dialog ASEAN-China, secara maya hari ini. Kenyataan perdana menteri itu disampaikan menerusi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sidang kemuncak itu telah dipengerusikan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021 dan Presiden China, Xi Jinping.

Sementara itu, mengulas pendirian terkini Malaysia mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative-BRI) dengan China, Saifuddin berkata negara ini masih berpendirian sama walaupun di bawah kerajaan berbeza.

“(Namun) mungkin dengan penekanan berbeza bagi projek tertentu. Bagaimanapun, Malaysia secara keseluruhannya sentiasa menyokong BRI sama ada di bawah (pentadbiran) kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan kerajaan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China itu, pihak terbabit menegaskan komitmen terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, bebas, inklusif, telus dan tiada diskriminasi dari segi peraturan berdasarkan teras Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). – Bernama

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi persidangan video, kelmarin. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah. – Bernama