Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kerjasama ASEAN jamin perkukuh ekonomi serantau

    Oleh Sim Y. H.

    Menteri-menteri ekonomi ASEAN menekankan pentingnya usaha dan strategi kolektif ASEAN untuk menangani isu-isu global dan serantau, mengurangkan kemungkinan kesan buruk kepada ekonomi ASEAN serta menekankan perlunya bagi mengukuhkan ASEAN Centrality dalam pengukuhan integrasi ekonomi di rantau berkenaan.

    Penekanan itu dibuat dalam kenyataan media bersama semasa Mesyuarat Khas Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 18 Mei lalu.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Kemboja, Tuan Yang Terutama Pan Sorasak dan dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi dari negara-negara anggota ASEAN dengan Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

    Dalam kenyataan bersama itu, menteri-menteri Ekonomi ASEAN telah membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pemulihan ekonomi rantau ASEAN dan strategi-strategi dalam menangani isu-isu serantau dan global termasuk dalam mengukuhkan ASEAN Centrality.

    Para menteri yang bersidang turut menyatakan teknologi digital dan pembangunan mampan telah muncul sebagai kuasa peneraju baharu bagi pertumbuhan masa hadapan ASEAN.

    Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik masa kini, gangguan pada aktiviti perdagangan dan ekonomi global serta perubahan iklim, mengetengahkan penting untuk rantau berkenaan mengukuhkan lagi usaha pembangunan komunitinya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi bergambar ramai semasa menghadiri Mesyuarat Khas AEM yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 18 Mei lalu. – Gambar serahan MOFE
    Para menteri yang bersidang turut menyatakan teknologi digital dan pembangunan mampan telah muncul sebagai kuasa peneraju baharu bagi pertumbuhan masa hadapan ASEAN.
    Amat penting bagi ASEAN untuk mengesahkan semula komitmen dan kesungguhan bekerjasama untuk memastikan bahawa komuniti ekonomi ASEAN kekal relevan, berdaya saing, inklusif, berdaya tahan serta mampan dalam era pasca pandemik COVID.

    Dalam hubungan itu, adalah amat penting bagi ASEAN untuk mengesahkan semula komitmen dan kesungguhan bekerjasama bagi memastikan bahawa komuniti ekonomi ASEAN kekal relevan, berdaya saing, inklusif, berdaya tahan serta mampan dalam era pasca pandemik COVID.

    Mesyuarat juga melahirkan optimisme bahawa rantau berkenaan akan kembali ke tahap pra-pandemik dengan ramalan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi rantau ASEAN, di mana pertumbuhan ekonomi dijangka akan meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2022 dan 5.2 peratus pada 2023.

    Namun begitu, ASEAN menyedari momentum pemulihan dan prospek pertumbuhan rantau berkenaan adalah terdedah kepada situasi geopolitik masa kini, gangguan rantaian bekalan, kekurangan dalam komoditi utama serta tekanan inflasi.

    Oleh itu, para menteri yang bersidang menekankan perlunya bagi ASEAN untuk tetap berwaspada dan mempercepatkan pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) untuk mengemudi cabaran global serta memastikan ekonomi ASEAN mampu bangkit semula dengan lebih kukuh dan baik.

    Mesyuarat juga bersetuju bahawa Perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) berpotensi menjadi penyumbang ke arah usaha-usaha pemulihan ekonomi.

    Dalam pada itu, mesyuarat mengalu-alukan penubuhan Sekretariat RCEP untuk memberi bantuan dan sokongan kepada Jawatankuasa Bersama RCEP dan badan-badan subsidiari di bawahnya.

    Mesyuarat juga mengetengahkan kepentingan keberhasilan Twelfth World Trade Organization (WTO) Ministerial Conference (MC12) yang akan berlangsung pada 12 hingga 15 Jun nanti di Geneva, Switzerland, dalam memastikan sistem perdagangan pelbagai hala yang telus, tiada diskriminasi dan terbuka.

    Kenyataan seterusnya menyatakan, mesyuarat turut berbincang mengenai isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk dasar dan strategi yang diperkenalkan oleh badan-badan pertubuhan antarabangsa, yang berkemungkinan besar akan membawa impak kepada dasar dan aktiviti perdagangan di rantau ini.

    Selain itu, para menteri yang bersidang turut membincangkan mengenai kerjasama industri berpandukan sektor swasta di ASEAN sebagai usaha kolektif dalam mendalamkan lagi integrasi ekonomi ASEAN, meningkatkan Perdagangan Intra-ASEAN, kesalinghubungan rantaian bekalan dan pelaburan serta mengukuhkan kemapanan ASEAN dan agenda penyahkarbonan selaras dengan ASEAN Economic Community Blueprint 2025.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...