Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Seramai 41 orang terdiri daripada pelbagai badan sektoral ASEAN dari 11 buah negara telah menghadiri bengkel berkaitan dengan jenayah pemerdagangan orang, ASEAN Workshop on the National ASEAN Convention Against Trafficking in Persons (ACTIP) Representatives Mechanism dan ASEAN Workshop on the Monitoring and Reporting of Monitoring, Evaluation Learning and Reporting (MERL) Framework of the BoholTrafficking in Persons (TIP) Work Plan di Vietnam, baru-baru ini.
Bengkel itu turut disertai delegasi Negara Brunei Darussalam dari Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan wakil dari Bahagian Sekuriti dan Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri.
Salah satu inisiatif Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC) dalam melaksanakan ASEAN Multi-Sectoral Work Plan Against Trafficking in Persons (TIP) 2023 – 2028 (Bohol Work Plan 2.0), bengkel berkenaan diungkayahkan oleh SOMTC-Filipina sebagai penyokong projek dengan kerjasama ASEAN-Australia Program Counter Trafficking (ASEAN-ACT) dan dihoskan oleh SOMTC-Vietnam.
Ia direka khusus untuk mengumpulkan National ACTIP Representatives (NAR) bagi membincangkan peranan dan berkongsi amalan baik dalam membanteras pemerdagangan orang yang telah ditetapkan dalam terma rujukan NAR bagi memudah cara perundingan dan pengoperasian mekanisme di antara NAR dan ASB.
Ia juga bertujuan untuk mensosialisasikan dan memaklumkan Rangka Kerja MERL yang diterima pakai kepada SOMTC, NAR dan ASB yang berkaitan.
Di samping itu, ia turut memberikan peluang kepada pihak berkepentingan untuk memahami tatacara dan garis pandu serta penyediaan laporan MERL oleh negara ASEAN sementara menggalakkan kerjasama antarabangsa untuk menangani jenayah pemerdagangan orang yang semakin kompleks serta memastikan respons yang lebih kukuh terhadap apa jua bentuk eksploitasi pemerdagangan orang.
