Kerjasama banteras pembersihan wang haram

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Unit Perisikan Kewangan (UPK), Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Unit Perisikan Kewangan, Majlis Anti Pengubahan Wang Haram (AMLC), Republik Filipina untuk bekerjasama dalam pertukaran maklumat perisikan kewangan.

Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan semasa Sidang Kemuncak Pencegahan Pengganasan di Manila, Republik Filipina.

Menurut kenyataan AMBD, pertukaran maklumat perisikan kewangan yang akan membantu dalam siasatan serta pendakwaan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

Penandatanganan MoU itu menandakan komitmen kukuh antara kedua-dua agensi dalam membanteras aktiviti pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

Kenyataan menyatakan, penandatanganan MoU dengan AMLC merupakan MoU kelapan yang telah ditanda-tangani oleh UPK, AMBD. Sebelum ini, UPK, AMBD, telah menandatangani MoU dengan UPK di Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Bangladesh, Kemboja, Singapura dan Laos.

Penandatanganan MoU bersama UPK lain adalah selaras dengan prinsip pertukaran maklumat Egmont Group, sebuah organisasi sejagat yang merangkumi unit-unit perisikan kewangan antarabangsa.

Selain itu, ia juga salah satu langkah dalam melaksanakan pematuhan piawaian antarabangsa berhubung pembanterasan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan, khususnya Financial Action Task Force Recommendation 29.

Wakil UPK AMBD dan AMLC bertukar-tukar dokumen MoU. – Gambar oleh AMBD