Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama banteras pemerdagangan manusia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Seminar Membanteras Pemerdagangan Manusia dan Buruh Paksaan yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menutup tirainya kelmarin dengan majlis penyampaian sijil.

    Hadir menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Haji Alidin.

    Seminar tersebut mengetengahkan enam orang pakar isi kandungan dari Homeland Security Investigations (HSI) Amerika Syarikat (AS) dengan seminar disertai oleh seramai 70 peserta daripada agensi penguatuasaan undang-undang iaitu PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JEKD), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Buruh, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Pejabat Peguam Negara.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland dalam ucapannya berkata, pemerdagangan manusia adalah jenayah yang merampas maruah, kebebasan dan hak asasi manusia.

    Selagi ia terus wujud, ia akan terus menghalang perlindungan hak asasi manusia dan mensabotaj keselamatan, keselamatan, dan kekuatan negara-negara kita, tegas beliau.

    Dato Seri Pahlawan Sulaiman menyampaikan sijil kepada peserta. – Oleh Yusrin Junaidi
    Oleh Yusrin Junaidi
    Dato Seri Pahlawan Sulaiman hadir pada majlis penyampaian sijil bagi Seminar Membanteras Pemerdagangan Manusia dan Buruh Paksaan. – Oleh Yusrin Junaidi

    Menurutnya lagi, seminar itu menunjukkan bahawa ia akan memerlukan komitmen daripada semua pihak untuk menamatkannya.

    Manakala itu, Dato Seri Pahlawan Sulaiman pula berkata, “Pemerdagangan manusia merentasi sempadan, budaya dan latar belakang sosio-ekonomi. Oleh itu, kita mesti mempertanggungjawabkan pemerdagang, memastikan perlindungan mangsa, dan mencegah keadaan yang memungkinkan pemerdagangan manusia.”

    Seminar telah menekankan keperluan untuk bertindak, bersatu dan mewujudkan rangka kerja yang kukuh untuk membongkar rangkaian yang mengeksploitasi golongan yang terdedah.

    “Kita mesti meningkatkan usaha untuk menyebarkan kesedaran, untuk mendidik rakyat, menyiasat dan akhirnya untuk mendakwa para penyeludup dan ini memerlukan kerjasama dan usaha kolektif daripada pelbagai agensi.

    “Perjuangan menentang pemerdagangan manusia sedang berjalan, tetapi kita harus bekerjasama untuk membanterasnya,” tegas beliau lagi dalam ucapan penutupnya.

    Menurut kenyataan daripada PPDB, seminar yang dilaksanakan dalam usaha bersama untuk menangani jenayah pemerdagangan manusia dan buruh paksaan itu dikendalikan HSI, AS melalui PPDB.

    Ia mengandungi pengajian kes, latihan praktikal dengan senario temu duga serta perkongsian trend terbaharu dalam jenayah pemerdagangan manusia.

    Di samping itu, seminar akan diambil kira sebagai satu pencapaian matlamat dalam petunjuk prestasi utama (KPI) Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Anti-Pemerdagangan Orang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda