Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 2 Feb – Majlis Muzakarah Mesra antara ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Daerah Belait yang baru dilantik bersama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ketua-ketua rumah panjang telah diadakan di Dewan Qiyadah, Jabatan Daerah Belait, di sini, hari ini.
Muzarakah berkenaan yang dihadiri sama oleh wakil daripada persatuan-persatuan, belia-belia dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Belait, telah dipengerusikan oleh Ketua Kampung Pandan A, Awang Sulaiman bin Udin.
Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga selaku Penghulu Mukim Liang, dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat untuk sama-sama menyuarakan usul-usul atau cadangan untuk dipertimbangkan dalam menangani masalah dan juga menjurus ke arah kemajuan dan pembangunan daerah ini khususnya.
Beliau juga menyatakan harapan, usul-usul atau cadangan yang disampaikan merupakan suara yang membina dalam apa jua jurusan pembangunan sosioekonomi, sosial masyarakat, pembelajaran, agama dan sebagainya.
“Mudah-mudahan apa yang diusulkan atau dicadangkan akan dapat kami sampaikan sama ada di peringkat daerah, jabatan-jabatan, kementerian dan sebagainya.

“Lebih baik lagi jika sekiranya segala usul dan cadangan dihadapkan secara bertulis, supaya lebih mudah ia ditunduki dan dipertimbangkan bersama,” katanya.
Yang Berhormat Haji Abdul Hamid dilantik sebagai ahli MMN Daerah Belait bagi mewakili Zon 1 yang meliputi Mukim Liang dan Mukim Seria, sementara itu, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput yang juga selaku Ketua Kampung Labi 1, mewakili Zon 11, meliputi Mukim Labi, Mukim Bukit Sawat, Mukim Sukang, Melilas, Mukim Belait dan Kuala Balai.
Yang Berhormat Awang Hanapi dalam ucapannya pada majlis tersebut antara lain melahirkan harapan supaya para penghulu dan ketua-ketua kampung khususnya dari Mukim Belait dan Kuala Balai untuk memberikan kerjasama erat dalam memberikan input yang dapat diketengahkan.
Perjumpaan berkenaan merupakan yang pertama diadakan sejak mereka dilantik menjadi ahli MMN dengan hasrat untuk bersama-sama mengongsikan pandangan demi kepentingan kemajuan Daerah Belait.