Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama BIMP-EAGA pulih semula ekonomi

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Menteri-menteri BIMP-EAGA telah bertemu secara maya, semalam, untuk mesyuarat ke-24 bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk perkembangan kerjasama antara BIMP-EAGA dan rakan pembangunan di mana mereka bersetuju untuk mengukuhkan perkongsian melalui rangka kerja yang sedia ada.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-24 itu dipengerusikan oleh Undersecretary, Jabatan Perdagangan dan Industri, Republik Filipina, Abdul Gani Macatoman dan dihadiri oleh menteri-menteri BIMP-EAGA, pegawai-pegawai Kanan, setiausaha agung ASEAN, ketua pengarah Bank Pembangunan Asia, Sekretariat Kebangsaan BIMP-EAGA, BIMP-EAGA Facilitation Centre, Kounsil Perniagaan BIMP-EAGA serta pengerusi-pengerusi kluster dan kumpulan kerja yang berkenaan.

    Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Setiausaha Tetap (Ekonomi), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan pegawai-pegawai di Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Dalam ucapan pembukaan, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf berkata, beliau optimistik bahawa BIMP-EAGA akan dapat mengatasi impak pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi dengan lebih kukuh melalui kerjasama dan komitmen ke arah mencapai matlamat-matlamat yang digariskan di dalam Visi BIMP-EAGA 2025 (BEV 2025). Kenyataan menyatakan mesyuarat berkenaan mengetengahkan mengenai Laporan Pegawai-pegawai Kanan ke-29 yang telah dibentangkan oleh pegawai kanan Republik Filipina.

    Laporan berkenaan antara lainnya memaklumkan status pelaksanaan bagi 88 projek keutamaan infrastruktur (PIPs), kemajuan bagi kluster dan kumpulan kerja serta penemuan awal Mid-Term Review (MTR). Laporan MTR dijangka akan siap pada tahun 2022.

    Di samping itu, mesyuarat turut berkongsi beberapa panduan dan saranan untuk memanfaatkan inisiatif ASEAN yang sedia ada termasuk ASEAN Comprehensive Recovery Framework (ACRF) dan Bandar Seri Begawan Roadmap (BSBR).

    Inisiatif BSBR antaranya bertujuan untuk mengutamakan tindakan yang memanfaatkan aplikasi IT dan meningkatkan kerjasama dan penyelarasan cross-sectoral badan-badan ASEAN dalam bidang transformasi digital. Kenyataan bersama bagi Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-24 boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.bimp-eaga.asia dan mesyuarat seterusnya membincangkan persediaan bagi mengadakan Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-14 pada tahun ini yang akan dipengerusikan oleh Indonesia.

    Dengan matlamat bagi membincangkan perkembangan kerjasama antara BIMP-EAGA dan rakan pembangunan dalam mengukuhkan persetujuan perkongsian melalui rangka kerja yang sedia ada, Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA kali ke-24 telah diadakan secara maya melalui persidangan video, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda