Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus menikmati hubungan kerjasama dan persahabatan yang terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang.
Tahun 2024 merupakan tahun yang amat bermakna bagi kedua-dua buah negara di mana Negara Brunei Darussalam meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-40 dan Republik Rakyat China meraikan ulang tahun penubuhan Republik Rakyat China ke-75.
Di samping itu, 2024 juga merupakan tahun bagi pertukaran warga-ke-warga China-ASEAN, jelas Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dalam ucapan alu-aluannya semasa tayangan filem China, The Wandering Earth di Tayangan Filem Antarabangsa yang berlangsung di Mahakarya Institute of the Arts Asia, hari ini.
Hadir untuk sama-sama menyaksikan tayangan filem berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Muhammad Safwan bin Abdullah Bibi.
Turut hadir pada tayangan berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari KSSUP dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta jemputan khas.
TYT Xiao Jianguo dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala di antara kedua-dua buah negara terus mantap dan dipertingkatkan.
Memandang ke hadapan, pihaknya berharap untuk mempromosikan pertukaran peringkat tinggi dua hala bagi meningkatkan kepercayaan bersama, melaksanakan kerjasama praktikal serta mengembangkan lagi pertukaran warga-ke-warga, yang meletakkan keutamaan dalam pembangunan kerjasama strategik China-Brunei dan membina Komuniti China-ASEAN bagi masa depan bersama.
Mengulas mengenai dengan filem, The Wandering Earth, TYT Xiao Jianguo berkata filem yang ditayangkan di China pada 2019 itu, merupakan filem fiksyen sains yang mengisahkan sekumpulan angkasawan yang mengembara untuk mencari sebuah planet yang baru untuk seluruh umat manusia.
Dengan jalan cerita yang menarik, rekaan visual yang menawan serta sketsa futuristik, ia bukan sahaja mengetengahkan semangat tanggungjawab dan solidariti manusia sejagat tetapi juga mengetengahkan budaya masyarakat China.
Filem itu turut memberikan gambaran mengenai perkembangan pesat sains dan teknologi, masyarakat serta tarikan budaya masyarakat China.