Monday, December 23, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama Brunei, Oman terus berkembang

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman dan kerjasama kukuh yang lama terjalin terus berkembang menerusi pelbagai perjanjian dan mekanisme.

    Bahagian utama kerjasama berkenaan merupakan perjumpaan dua hala tahunan di antara kementerian luar negeri kedua-dua buah negara di mana setakat ini, sebanyak 22 perjumpaan telah diadakan dengan yang terkini di Bandar Seri Begawan tahun ini.

    Di samping itu, Jawatankuasa Bersama Kesultanan Oman-Brunei, antara Kementerian Perdagangan, Industri dan Promosi Pelaburan Kesultanan Oman dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei Darussalam memainkan peranan penting dalam memajukan kerjasama ekonomi dan pelaburan di mana sesi ke-4 dijadualkan diadakan di Muscat, sekali lagi pada 2025.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama (PYT) Erma Said Mohamed Samhan Al Kathiry dalam ucapannya semasa Majlis Resepsi Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kesultanan Oman
    ke-54 yang berlangsung di Royal Bershire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, kelmarin.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan isteri serta PYT Erma Said semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir semasa majlis itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dalam ucapannya, PYT Erma Said Mohamed Samhan Al Kathiry menyatakan hubungan ekonomi kedua-dua negara terus mencatat perkembangan, dengan Syarikat Pelaburan Kesultanan Oman-Brunei menerajui projek yang berjaya di kedua-dua buah
    negara dan kerjasama penting lain termasuk pembentukan Comquest, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Bahwan CyberTek and Darussalam Assets, serta Innovateq Company yang memulakan operasinya di Brunei untuk tempoh empat tahun, bermula Mei lalu.

    Manakala itu, Syarikat Golden Corporation, memegang 50 peratus bahagian dan bersedia untuk berkembang lebih luas ke arah memperkukuh perkongsian ekonomi Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman.

    Untuk mengukuhkan lagi kerjasama kewangan, delegasi dari Bank Negara Oman, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, menghadiri Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam ke-16 di Brunei pada Mei lalu dan dalam beberapa hari akan datang, Kesultanan Oman akan menjadi tuan rumah kepada delegasi dari Brunei Darussalam Central Bank bagi memajukan lagi perkongsian berkenaan.

    Kerjasama tenaga telah menjadi tonggak utama dalam perkongsian kedua-dua negara menerusi penyertaan seminar dan acara tenaga di kedua-dua buah negara serta perjanjian yang dimeterai antara Brunei Shell dan syarikat peneraju tenaga Kesultanan Oman bagi pertukaran kepakaran.

    Sementara itu, pendidikan juga merupakan kunci dalam mengukuhkan hubungan kedua-dua buah negara di mana menerusi biasiswa, kolaborasi akademik serta pertukaran sumber pendidikan dan kepakaran khususnya dalam pendidikan Bahasa Arab, kedua-dua buah negara terus memperkayakan landskap pendidikan satu sama lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda