Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kerjasama Brunei-Republik Korea terus berkembang

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea terus mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang kukuh dengan hubungan berkenaan terus berkembang dari tahun ke tahun.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun berkata, dari segi pendidikan, sejak 2012 lebih 1,000 pelajar Brunei termasuk pelajar pertukaran mendapat visa daripada kedutaannya untuk belajar di Korea.

    Kecuali semasa tempoh COVID, di mana setiap tahun lebih 100 orang pelajar pergi ke Korea, tambah beliau semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Resepsi sempena Hari Pengasasan Kebangsaan Republik Korea yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Dalam ucapannya itu, Tuan Yang Terutama menyatakan, Korea juga telah memberikan pelbagai sumbangan kepada pembangunan Brunei seperti membina infrastruktur Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, yang digelar Jambatan Temburong, dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dan TYT Kim Soung-eun bersama pasangan masing-masing memotong kek sempena Hari Pengasasan Kebangsaan Republik Korea. – Gambar oleh James Kon.
    Tetamu memakai pakaian tradisional Korea semasa menghadiri majlis resepsi tersebut.

    Terkini, pembinaan sebuah syarikat pembinaan kapal Korea secara aktif dalam projek penyelenggaraan dan penyahtauliahan kapal di Pulau Muara Besar (PMB).

    Beliau juga menyentuh mengenai hubungan udara antara Brunei dan Korea, di mana tidak lama lagi, penerbangan tanpa henti akan disambung semula antara Bandar Seri Begawan dan Incheon.

    “Saya menjangkakan ramai orang Korea akan melawat Brunei. Sejurus sebelum COVID-19, Korea adalah negara kelima dari segi ketibaan pelancong antarabangsa di Negara Brunei Darussalam,”ujarnya.

    Terdahulu, majlis resepsi telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.

    Kemuncak majlis ialah memotong kek sempena Hari Pengasasan Kebangsaan Republik Korea dan penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang disempurnakan oleh TYT Kim Soung-eun.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...