Kerjasama diperlukan untuk hadapi Monsun Timur Laut

KOTA KINABALU, 23 SEPT – Persediaan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Oktober ini hingga Mac tahun depan, memerlukan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata perbincangan antara kedua-dua belah pihak haruslah diadakan untuk merancang persediaan dan pengurusan bencana kesan musim monsun itu.

“Ini baru permulaan, kita masih berada dalam musim Monsun Barat Daya dan kita jangkakan keadaan cuaca akan lebih buruk apabila tiba musim Monsun Timur Laut.

“Antara yang kita perlu buat adalah (meneliti) bagaimana kerajaan negeri bersedia dengan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama agensi lain pula sudah bersiap sedia dari segi aset dan keanggotaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat APM Sabah di sini hari ini.

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir besar di negeri-negeri di Malaysia terutamanya di kawasan pantai timur Semenanjung. 

Mengenai lawatan dua hari di Sabah yang berakhir hari ini, Abdul Latif berkata antara tujuan lawatannya  itu adalah bagi meninjau situasi banjir di Sugud, Penampang, selain mendengar taklimat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah. – Bernama