Sunday, March 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama dua hala dimantapkan

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Sektor pengangkutan telah memasuki era yang lebih mencabar di abad ini dan transformasi untuk berdaya saing dan efektif dalam memudahcara Ease of Doing Business adalah perlu bagi memastikan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Kementerian Perhubungan lebih relevan di peringkat global dan serantau.

    Pemangku Pengarah JPD, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud ketika mengalu-alukan rombongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia di Ibu Pejabat JPD di Beribi, pagi tadi berkata, usaha berkenaan juga perlu untuk menjayakan wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berkata, lawatan kerja yang diketuai oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin bin Khalid merupakan satu inisiatif yang disambut baik oleh JPD kerana ia amat penting dalam memperkembangkan kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang pengangkutan darat.

    JPD dan JPJ juga mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan beberapa perkara dan kaedah terbaik yang telah dilaksanakan selain berkongsi perkembangan terkini dalam bidang pengangkutan.

    Para pegawai JPD dan JPJ bergambar ramai selepas mesyuarat dua hala di Ibu Pejabat JPD di Beribi, kelmarin.

    Dalam mesyuarat itu juga, kedua-dua jabatan turut berkongsi mengenai hal ehwal penguatkuasaan, perjalanan atau mobiliti kenderaan pengangkutan antara kedua-dua negara dalam lintas batas serta perbincangan bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran sektor pengangkutan.

    Selain itu, Pengiran Mohammad Amirrizal juga berharap agar perjumpaan dan lawatan ini dapat membantu dalam pembaikan dan dijadikan sebagai panduan serta mencari penyelesaian bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran jabatan dan kementerian masing-masing.

    Delegasi Malaysia turut disertai oleh Pengarah Bahagian Perlesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd Rusdi bin Mohd Darus; Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Ahmad Nasir bin Abdul Gani; Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas bin Abdullah dan Pengarah JPJ Sabah, Haji Sadim bin Haji Abdul. Manakala delegasi dari Negara Brunei Darussalam ialah para pegawai kanan JPD, Polis Diraja Brunei serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda