Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran kepada pengurangan faktor risiko penyakit tidak berjangkit apabila Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan (HPC) menandatangani kontrak dengan syarikat Aura Health bagi menyediakan perkhidmatan untuk program cara hidup sihat yang diadakan pada 11 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh HPC, di sini, menyatakan bahawa menandatangani bagi pihak Kementerian Kesihatan ialah Ketua HPC, Dr Hajah Norhayati binti Haji Ahmad dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HPC, Awang Mohammad Firdey Hazarullah bin Haji Md Zain.
Sementara itu, menandatangani bagi pihak syarikat Aura Health ialah Pengasas Aura Health, Dayang Nurul Syahirah binti Awang Marshidi dengan disaksikan oleh Awang Muhammad Danish Safwan bin Awang Marshidi.
Program Cara Hidup Sihat (PCHS) merupakan satu inisiatif di bawah program kerjasama awam – swasta (PPP) antara Kementerian Kesihatan (MOH) dan Gleneagles JPMC Sdn Bhd.
Gleneagles JPMC Sdn Bhd telah menyokong Pusat Promosi Kesihatan (HPC) sejak 2019 dengan menyediakan dana bagi menyokong program-program gaya hidup sihat, termasuk program Tempat Kerja dan Kesihatan (WAH), program Persekitaran dan Gaya Hidup Ceria (HEAL) serta program Growing, Learning, optimizing towards Better well-being in School (GLOW).
PCHS oleh HPC berkenaan akan memperkenalkan bengkel pendidikan makanan yang memberi tumpuan kepada pengetahuan, kemahiran dan kaedah praktikal untuk membuat keputusan yang lebih bijak dalam pemakanan.
Salah satu aspek utama bengkel berkenaan ialah mengajar peserta cara mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan Kadar Metabolik Asas (BMR) mereka, bagi membantu mereka memahami metrik kesihatan individu dengan lebih baik.
Peserta juga akan mempelajari peranan nutrien dan kalori dalam diet mereka, sekali gus memahami cara untuk menguruskan pengambilan tenaga dengan lebih berkesan.
Selain itu, peserta akan dilatih untuk merekod pengambilan makanan mereka dengan tepat dan memantau tabiat pemakanan bagi mencapai pengurusan berat badan yang efektif.
Pendekatan menyeluruh itu bertujuan untuk menggalakkan pilihan gaya hidup yang lebih sihat dan memperkasakan individu dengan kemahiran yang diperlukan untuk kesejahteraan jangka panjang.
Inisiatif itu juga bermatlamat untuk menyumbang kepada pengurangan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini, sambil menyokong visi Kementerian Kesihatan iaitu Bersama ke Arah Warga Sihat dan matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 untuk mencapai kualiti hidup yang tinggi.