Kerjasama kekalkan UTB sebagai institusi kompetitif

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Dengan matlamat untuk mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan kerjasama pelbagai bidang penyelidikan atas dasar kesaksamaan dan manfaat bersama, Shell LiveWIRE Brunei dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) secara maya, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis melalui sidang video itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman di mana sesi penandatanganan bagi pihak UTB di diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan), Dr Mohd Saiful bin Haji Omar, dan mewakili bagi pihak Shell LiveWIRE Brunei ialah Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Pengurus Nilai Dalam Negara Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Rosita binti Haji Hassan.

Penandatanganan tersebut disaksikan oleh Pengarah Pejabat Perusahaan, UTB, Profesor Dr Kamariah binti Ismail dan Pengarah Program, Shell LiveWIRE Brunei, Haji Abdul Yusrin bin DSLJ Haji Mohd Salleh yang masing-masing menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum termeterainya perjanjian.

Menurut Haji Abdul Yusrin, Shell LiveWIRE Brunei begitu berharap dapat menyediakan tawaran program-program coaching, mentoring dan entrepreneurship serta tawaran sebagai saluran atau platform untuk memberi peluang menjurus kepada idea-idea inovatif pelajar bagi dipamerkan dengan akses kepada subjek kepakaran untuk mendapatkan nasihat dan perkembangan ke arah prospective technopreneurship.

“Adalah amat diharapkan bahawa MoU berfungsi sebagai platform untuk semua orang kepada amalan-amalan terbaik dan peluang bagi menggiatkan semula rangkaian dengan lebih meluas lagi,” tambahnya.

Profesor Dr Hajah Zohrah ketika menghadiri majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Shell LiveWIRE Brunei dan UTB secara maya, hari ini.

Sementara itu, Profesor Dr Kamariah turut menyatakan bahawa UTB mengalu-alukan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama untuk mengukuhkan Quadraplex Helix yang juga bermatlamat untuk menarik sumber, pengetahuan, dan pandangan jauh teknologi untuk mengekalkan UTB sebagai institusi yang kompetitif dan sumber inovasi industri.

“Kami percaya bahawa perkongsian sebegini akan membawa hasil penyelidikan berkualiti dan boleh dikomersialkan melalui geran strategik yang akan membantu membina ekosistem dinamik dengan hasil yang ketara untuk negara,” katanya yang turut merakamkan kegembiraan di mana kedua-dua pihak menjalankan latihan, seminar dan hackathon serta memulakan beberapa aktiviti komersial dalam kalangan pelajar.

Adapun MoU berkenaan sememangnya berfungsi sebagai rangka kerja umum untuk menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama antara UTB dan Shell LiveWIRE Brunei.

Kedua-dua pihak amat berminat untuk menyediakan latihan kemahiran keusahawanan dan bengkel serta menganjurkan mini hackathon untuk mahasiswa, siswazah dan pelajar penyelidikan universiti dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).