Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama keselamatan dikukuhkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Negara Brunei Darussalam akan terus memberikan keutamaan kepada prinsip ASEAN Centrality dalam usaha untuk memperkukuhkan kestabilan dan keselamatan di rantau ini.

    Dalam usaha tersebut, Brunei dan negara-negara ASEAN lainnya bersedia untuk memperkuat hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan negara-negara dialog ASEAN seperti Rusia, terutama dalam bidang keselamatan.

    Pernyataan itu dibuat oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara.

    Beliau menyampaikan pernyataan tersebut semasa menghadiri Mesyuarat 3rd ASEAN Russia Consultations of the High-Ranking Representatives for Security Issues yang diadakan dalam rangka XI International Meeting of High-Ranking Officials Responsible for Security Matters di Moscow, Rusia pada 23 Mei lalu.

    Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Nikolai Patrushev, dan dihadiri oleh wakil Kerajaan Kemboja selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-Rusia, Leftenan Jeneral Ke Da. Mesyuarat turut dihadiri oleh Menteri-Menteri dan Pegawai-Pegawai Kanan dari negara-negara ASEAN.

    Selain itu, pada 25 Mei, Timbalan Menteri di JPM telah menyampaikan kenyataan semasa sesi meja bulat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Kementerian Hal Ehwal Dalam Persekutuan Rusia, Ivan Zubov, mengenai kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah penyeludupan dadah.

    Terdahulu, delegasi Negara Brunei Darussalam telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Pejabat Eksekutif Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia pada 22 Mei lalu bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Memorandum Persefahaman antara Jawatankuasa Keselamatan Negara Brunei Darussalam dan Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia yang telah ditandatangani sejak bulan Jun 2019.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian semasa mengadakan perjumpaan dengan Nikolai Patrushev di Moscow, Rusia. – Gambar serahan JPM
    Sidang Plenari Mesyuarat “XI International Meeting of High-Ranking Officials Responsible for Security Matters”

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda