Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Negara Brunei Darussalam dan Majlis Keselamatan Siber, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengukuhkan komitmen dan kerjasama ke arah kemajuan dalam keselamatan siber melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU).
Penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa (MoFAIC), di Abu Dhabi sebagai acara sampingan kepada Minggu Keselamatan Siber Serantau yang telah diadakan pada 8 hingga 13 Oktober di Abu Dhabi, UAE.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MTIC, di sini, MoU dalam bidang kerjasama keselamatan siber itu telah ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku menteri bertanggungjawab bagi keselamatan siber sebagai wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam manakala itu kerajaan UAE diwakili oleh Ketua Keselamatan Siber, Dr Mohamed Hamad Al Kuwaiti.
Turut hadir semasa majlis penandatanganan berkenaan ialah Duta Besar Brunei Darussalam ke UAE, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC dan CSB.
Penandatanganan itu menyerlahkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memupuk persekitaran siber yang selamat dan berdaya tahan.
Ia menggariskan visi bersama Negara Brunei Darussalam dan UAE untuk meningkatkan langkah keselamatan siber dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman siber yang berkembang secara berkesan.
Permuafakatan itu merangkumi inti pati pakatan strategik, yang menekankan komitmen kedua-dua negara untuk memerangi cabaran siber dan memupuk kerjasama dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan trend dan perkembangan terkini dalam keselamatan siber, cabaran dan ancaman keselamatan siber yang dihadapi, strategi dan amalan terbaik dalam tindak balas kepada insiden keselamatan siber dan pemulihan serta pendidikan dan kesedaran keselamatan siber.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya akan menghadiri dan menyertai sebagai ahli panel pada Persidangan GITEX Global Cybersecurity yang akan diadakan esok di Dubai World Trade Centre (DWTC), Dubai.
Dengan membawa tema The Year to Imagine AI in Everything, persidangan itu adalah sebagai platform utama bagi pemimpin dunia, pakar-pakar dari industri serta penggubal dasar dalam membincangkan dan berkongsi pandangan mengenai strategi-strategi terkini dalam keselamatan siber.


