Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menyedari akan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mampan bagi sektor-sektor utama iaitu pertanian, perikanan dan perhutanan serta pelancongan, dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global.
Oleh itu, kerjasama semua pihak secara kolektif adalah diperlukan untuk menghadapi cabaran semasa.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam ucapan alu-aluannya semasa sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.
Rombongan ahli MMN seramai 18 orang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Semasa sesi muzakarah itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan mengenai dengan hala tuju strategik dan fokus utama dalam meningkatkan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan serta pencapaian dan sasaran keluaran sektor KSSUP.
Beliau juga mengongsikan perkembangan serta prestasi pencapaian sektor sumber-sumber utama dan pelancongan sepanjang tahun 2024, serta hala tuju strategik kementerian bagi memastikan agar keluaran dari industri-industri di bawah kendalian kementerian berkenaan akan terus meningkat dari tahun ke tahun dan menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan digiatkan terus usaha dengan gigih untuk membawa Negara Brunei Darussalam mencapai Wawasan Brunei 2035, iaitu sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdayatahan; dan pada masa yang sama bagi menjamin sekuriti makanan serta meningkatkan eksport.
Sesi muzakarah diteruskan dengan taklimat mengenai pencapaian, perkembangan dan hala tuju sektor sumber-sumber utama dan pelancongan bagi tahun 2024 yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, dan diikuti dengan sesi perbincangan dan soal jawab.
Hajah Tutiaty mengongsikan mengenai fokus utama kementerian bagi mendukung pertumbuhan dan peningkatan keluaran sektor makanan.
Beliau juga mengetengahkan beberapa program dan projek yang giat dilaksanakan ke arah meningkatkan keluaran produk makanan yang berkualiti, halal dan selamat dari sektor makanan bagi industri primer seperti keluaran hasil industri ternakan, industri tanaman, industri penangkapan ikan, industri akuakultur serta keluaran dari aktiviti-aktiviti industri pemprosesan dan nilai tambah berasaskan pertanian dan perikanarı.
Turut hadir di sesi muzakarah itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap 1, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi; Timbalan Setiausaha Tetap II, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; pengarah-pengarah jabatan dan ketua bahagian serta para pegawai kanan kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya.