Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama membaiki rumah

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 30 Mei – Bagi membantu para mualaf yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah atau membaik pulih rumah mereka, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku penyumbang, bekerjasama mengendalikan Projek 2018 Baitul Izzah Warahmah.

    Projek kerja membaik pulih rumah Awang Muhammad Tajuddin bin Abdullah @ Tanggum anak Jaban (penerima) di Kampung Kuala Ungar, Tutong, telah bermula hari ini dan dijangka siap pada 10 Jun depan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran projek berkenaan ialah Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek BIBD, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah.

    Majlis pagi tadi diikuti dengan penyerahan infak jariah berupa barang-barang makanan asasi daripada pihak BIBD yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Infak Jariah tersebut akan diagihkan kepada 100 buah keluarga mualaf yang daif di seluruh negara.

    Penyerahan infak jariah berupa barang-barang makanan asasi daripada pihak BIBD. – Gambar oleh Pusat Dakwah Islamiah

    Majlis kemudian disusuli dengan aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan rumah Awang Muhammad Tajuddin.

    Awang Muhammad Tajuddin merupakan seorang mualaf yang tidak menerima sebarang bantuan dan hanya menerima gaji pencen.

    Menurut kenyataan KHEU, dengan adanya projek ini, ia akan dapat membantu para mualaf yang kurang berkemampuan untuk memberikan keselesaan dalam menjalani ibadah seharian dan berkongsi kegembiraan khasnya dalam bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba.

    Melalui projek berkenaan juga, ia diharap akan dapat mengeratkan kerjasama bersama beberapa pihak yang terlibat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda