Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama penerbangan Brunei-Arab Saudi diperkukuh

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Arab Saudi telah menandatangani sebuah perjanjian yang dikemas kini dan dimodenkan, Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) di Kuala Lumpur, Malaysia pada 23 Oktober lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menyatakan kesimpulan perjanjian berkenaan berfungsi sebagai pelengkap kepada penandatanganan kemas kini, Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Hak-hak Kebebasan Trafik Udara yang telah ditandatangani oleh kedua-dua buah negara di Riyadh pada awal tahun ini.

    Penandatanganan ASA berkenaan telah diadakan di International Civil Aviation Negotiation 2024 (ICAN2024) yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Kuala Lumpur, Malaysia, dari 21 hingga 25 Oktober.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha telah menandatangani perjanjian bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, manakala Presiden Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA), Arab Saudi, Abdulaziz bin Abdullah Al-Duailej menandatangani bagi pihak kerajaan Arab Saudi.

    Perjanjian yang dipertingkatkan itu, bermatlamat untuk memupuk pilihan pengangkutan udara komersial yang lebih fleksibel, membolehkan syarikat penerbangan ditetapkan dari kedua-dua buah negara untuk mengendalikan penerbangan ke lapangan terbang antarabangsa masing-masing.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan Abdulaziz bergambar selepas menndatangani perjanjian. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa perjumpaan bersama Yuli Thompson. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Perjanjian itu adalah selaras dengan standard terkini Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan mematuhi rangka kerja kawal selia kedua-dua buah negara.

    Terdahulu sebelum penandatanganan berkenaan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary mengadakan perjumpaan dua hala dengan Abdulaziz, membincangkan perkembangan dan cabaran dalam sektor penerbangan.

    Kedua-dua pihak mengenali bahawa perkhidmatan udara langsung meningkatkan pelancongan secara signifikan, menggariskan perlunya bagi penyelarasan dengan kemudahan, infrastruktur dan keupayaan lapangan terbang.

    Yang Berhormat Pengiran Dato juga mengadakan perjumpaan dua hala berasingan dengan Pengurus Serantau bagi Asia Tenggara di Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Yuli Thompson yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Perbincangan mereka berpusat sekeliling pelaksanaan electronic cargo air waybills, mempromosikan pengeluarkan Sustainable Aviation Fuel dan dasar-dasar visa untuk menggalakkan pelancongan ke Brunei Darussalam.

    Sepanjang ICAN2024, Delegasi Negara Brunei Darussalam secara aktif mencari peluang untuk berunding mengenai perjanjian perkhidmatan udara yang menyokong standard penerbangan global dan memajukan liberalisasi pengangkutan udara.

    Dengan 40 ASA dua hala yang sudah ada, Brunei Darussalam terus mengukuhkan rangkaian penerbangannya yang membolehkan kesalinghubungan udara antarabangsa, yang merupakan pemacu kritikal bagi pelancongan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi.

    Ia adalah selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah hab perjalanan udara serantau, meningkatkan tarikan kepada perniagaan dan pelawat antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda