Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama penting untuk capai kejayaan berterusan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) mempunyai peranan penting dalam menyokong ketahanan tenaga, memperkukuh kekuatan ekonomi serta memacu pembangunan jangka panjang Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, kerjasama berterusan antara lembaga pengarah, pengurusan dan pemegang saham adalah amat mustahak bagi mencapai kecekapan beradaptasi dan daya
    ketahanan dalam memposisikan syarikat-syarikat untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) ke-416 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) ke-194 bagi Suku Ketiga tahun 2025, di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.

    Pada mesyuarat berkenan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah penutup bagi menamatkan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat-syarikat BSJV dan Syarikat Brunei Gas Carriers bagi Suku Ketiga Tahun 2025.

    Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta strategi jangka panjang BSP dan BSM bagi tahun-tahun akan datang.

    Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan dari BSP dan BSM.

    Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat-syarikat BSJV bagi Suku Ketiga 2025.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada mesyuarat tersebut, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah BSP ke-416 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah BSM ke-194 bagi Suku Ketiga tahun 2025, di Bangunan JPM. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan berangkat ke mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir ke mesyuarat berkenaan, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda