Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Negara Brunei Darussalam dan Kanada mempunyai hubungan persahabatan yang akrab berasaskan kepada saling menghormati, kepercayaan dan keinginan untuk bekerjasama bagi menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik seperti menentang kesan buruk plastik marin serta bekerjasama untuk memastikan bahawa rantaian bekalan tidak putus apabila pandemik COVID-19 melanda.
Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel dalam ucapannya semasa Majlis Sarapan Pagi Pankek Tradisional Kanada bersempena dengan Hari Kanada yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta isteri. Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta serta para jemputan khas.
PYT Stovel dalam ucapannya lagi melahirkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menteri kesihatan dan keseluruhan komuniti perubatan atas tindakan awal dan tegas dalam memastikan kesihatan serta keselamatan semua di Negara Brunei Darussalam diberikan keutamaan khususnya dalam menangani penularan pandemik COVID-19.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Kanada amat menghargai usaha Brunei selaku pengerusi ASEAN yang memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi, melancarkan rundingan bagi sebuah Perjanjian Perdagangan Bebas Kanada-ASEAN di mana perjanjian itu akan memberikan manfaat ekonomi yang besar dan mampan kepada rantau berkenaan serta akan membantu dalam pemulihan ekonomi berikutan pandemik yang melanda.
Beliau turut berkata bahawa Kanada merupakan rakan kongsi ASEAN yang amat komited serta akan berusaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama menerusi keanggotaannya dalam ADMM+, EAS dan juga menerusi peningkatan rakan strategik.
Terdahulu dalam ucapannya, PYT Stovel juga menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan cabaran bagi pelajar-pelajar Brunei yang ingin melanjutkan pengajian ke Kanada, namun begitu jumlah pelajar Brunei yang melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka Kanada menunjukkan peningkatan.
Pada masa yang sama, tambahnya, syarikat-syarikat Kanada turut melihat nilai Brunei yang mempunyai penduduk berpendidikan tinggi serta lokasinya di tengah-tengah Asia Tenggara sebagai rakan kongsi yang amat baik dalam mengembangkan hubungan perdagangan mereka di rantau ASEAN.
Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew serta isteri dan PYT Stovel serta suami bersama-sama memotong kek sempena sambutan Hari Kanada.
Hari Kanada diraikan setiap 1 Julai dan pada 2021, Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam mengadakan majlis informal bagi meraikan hari berkenaan dengan mencerminkan kepelbagaian budaya dan linguistik Kanada.
Kanada menubuhkan hubungan diplomatik dengan Negara Brunei Darussalam pada 1984 dan telah membuka Suruhanjaya Tinggi di Bandar Seri Begawan pada 1995. Brunei dan Kanada berkongsi kepentingan bersama dalam perkara ekonomi dan pendidikan serta juga kerjasama pelbagai hala termasuk Kerjasama Ekonomik Asia-Pasifik, Pertubuhan Perdagangan Dunia, Komanwel dan Forum Serantau ASEAN.