Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama perdagangan ditekankan

    Gambar oleh Infofoto

    BEIJING, 28 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat meninggalkan Beijing, Republik Rakyat China selepas menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa ke-2.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa CPPCC Beijing, Chen Hong dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong serta pegawai-pegawai kanan dari kerajaan China.

    Turut hadir ialah Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China, Lee Kok Ting dan beberapa orang kakitangan dari Kedutaan Brunei Darussalam di Beijing.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat meninggalkan Beijing, China bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen selepas menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa ke-2. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menadah tangan semasa Doa Selamat dibacakan. Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin dunia yang lain semasa Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa ke-2 di Beijing.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri sesi pertama meja bulat bagi forum tersebut di Dewan Jixian, Pusat Persidangan Antarabangsa Sungai Yangqi, Beijing.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke sesi tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Dalam sesi tersebut Baginda Sultan bertitah menekankan mengenai perlunya peningkatan pada perhubungan perdagangan, mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala serta mengukuhkan pendekatan serantau melalui ASEAN dan APEC bagi merangsang perhubungan perdagangan ke arah perkembangan dan persekitaran mesra perniagaan.

    Baginda Sultan dalam titahnya menekan kepentingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) antara ASEAN dan lima lagi rakan kongsi lain, dan kerjasama lebih mendalam bagi mengukuhkan perhubungan udara dan maritim.

    Mengenai isu ekonomi digital, Baginda Sultan berkenan menggariskan keperluan bagi memastikan rakyat menikmati kemajuan itu, terutamanya dengan bermulanya revolusi industri keempat, dan menggesa semua pihak bekerjasama bagi menyediakan e-plaform yang mudah dicapai dan terjamin serta mempertingkatkan rangkaian digital bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Baginda Sultan dalam titahnya menambah bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan Republik Rakyat China dan rakan-rakan kongsi lain bagi menyediakan masa depan yang lebih baik, selamat dan terjamin.

    Selepas sesi pertama, Baginda Sultan berkenan menghadiri sesi makan tengah hari bagi mesyuarat sesi kedua dan sesi bergambar ramai.

    Baginda Sultan kemudian berkenan berangkat ke dewan mesyuarat bagi sesi terakhir bersama para pemimpin dunia lain sebelum berangkat meninggalkan Pusat Persidangan Antarabangsa Sungai Yangqi, Beijing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda