Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) hanya mempunyai 16 tahun lagi sebelum mencapai usia 100 tahun (1939-2039), oleh itu, sangat elok pentadbiran PGGMB perlu menyediakan pelan strategik, visi dan misi yang jelas dalam hal ekonomi, kebajikan, pelajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah PGGMB.
Sehubungan itu, semua ahli perlu bekerjasama dalam menjayakan segala perancangan dan aktiviti yang berdaya saing bagi memperkasakan peranan PGGMB kelak.
Seruan itu dibuat oleh Yang Dipertua PGGMB, Haji Abdul Alim bin Haji Othman dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-73, Sesi 2022-2023 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Majlis berkenaan dihadiri oleh kira-kira 200 orang ahli PGGMB termasuk ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan tadbir di mana kira-kira 70 orang ahli perwakilan hadir bagi menyertai sesi mesyuarat bagi mewakili cawangan-cawangan Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Haji Abdul Alim menyatakan bahawa dalam perjumpaan yang lalu, jawatankuasa tertinggi (JKTT) telah mencadangkan beberapa aktiviti atau program bagi menyediakan satu program yang berkebajikan kepada ahli.
Antara aktiviti atau program yang dicadangkan adalah program menabung di sekolah-sekolah PGGMB diteruskan untuk mendidik kanak-kanak supaya budaya menabung bagi jangka masa panjang, menubuhkan sekolah bagi kanak-kanak pekak Negara Brunei Darussalam bermula dari pra sekolah hingga Tahun 6 dan seterusnya serta Projek Rumah Kos Rendah (mampu milik) bagi ahli dan keluarga
PGGMB.
Majlis diteruskan dengan ucapan dan perasmian mesyuarat agung yang disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati. Beliau turut menyempurnakan penyampaian Sijil Pelajar Cemerlang kepada murid-murid sekolah-sekolah PGGMB yang berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) Tahun 2022.
Mesyuarat agung perwakilan diadakan setiap tahun untuk merumuskan kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan setiap tahun.
Dalam mesyuarat berkenaan, majlis menyemak, membincangkan dan mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-72, Sesi 2021-2022.
Majlis seterusnya membentangkan laporan tahunan dan penyata kewangan bahagian-bahagian dalam PGGMB di mana ia dibentangkan oleh setiausaha kewangan.
Dalam sesi permesyuaratan, ahli-ahli perwakilan diberi hak dan peluang untuk bertanya dan membuat cadangan-cadangan untuk diambil perhatian dan tindakan susulan.
Sesi mesyuarat membincangkan hal ehwal kewangan, ekonomi, kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan.